Home Seni Hidup Pertemuan dengan banduan terakhir, buat Norman sayu

Pertemuan dengan banduan terakhir, buat Norman sayu

KUALA LUMPUR – Pelakon Norman Hakim cukup sedih dan sayu dengan ketabahan dan ketenangan banduan-banduan akhir yang sangat bersedia untuk menunggu hukuman mati.

Dengan tasbih dan tafsir al-Quran tidak lekang ditangan, senyuman juga tidak pernah lekang dibibir mereka.

Berkongsi pengalamannya beriftar, bersolat, terawih, tazkirah dan moreh bersama banduan akhir anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) di Penjara Sungai Buloh, Norman tidak dapat menahan sebak dengan situasi yang dilihatnya itu.

Lebih menyayat hati apabila mendengar jawapan kepada satu soalannya yang diajukan kepada banduan-banduan tersebut.

Norman berkata, beliau telah bertanya kalau peluang dapat bebas di luar, apakah perkara pertama yang akan dilakukan oleh banduan-banduan tersebut.

Jawapannya adalah mereka bahagia berada di dalam tembok besi itu kerana di luar terlalu banyak ancaman.

“Saya terkedu tak tahu nak cakap apa. Konklusi saya, di sinilah istana dan syurga mereka,” katanya Norman melalui akaun Instagramnya.

Jelasnya, kebanyakan banduan-banduan akhir yang ditemui Norman itu sudah lebih 10 tahun mendiami penjara berkenaan mengenalinya berbanding banduan yang berada lebih daripada tempoh tersebut.

“Sepanjang 4 jam bertemuan, saya banyak berdiam mendoakan segala yangg terbaik buat mereka. Mereka yg lebih banyak berkongsi kisah dan cerita sambil pegang tangan dan muka saya,” tambah Norman yang pastinya tidak akan lupa dengan nasihat banduan-banduan tersebut kepadanya.

Mereka menasihatkannya supaya sentiasa menghargai makna kebebasan dan sayangi orang-orang sekeliling selagi masih ada.

“Ya Allah Yang Maha Besar KuasaMu…Kau peliharalah & ampunilah sahabat2ku ini sehingga sampai masa yang telah ditetapkan untuk mereka semua & kami juga untuk kembali kepadaMu…timballah segala kebaikan kami walau sekelumit & gugurkanlah dosa2 kami bersempena Ramadhan yang mulia ini kerana sesungguhnya kami semua adalah hamba2Mu yang amat lemah tanpa petunjuk & hidayahMu Ya Allah😔❤,” doa Norman yang dititipkan kepada rakan-rakan baharunya itu. – MalaysiaGazette