CHICAGO – Bintang R&B antarabangsa, R. Kelly dikenakan 11 pertuduhan baharu jenayah seksual yang disifatkan peguamnya sebagai tindakan berulang membabitkan kes sedia ada.
Penyanyi berusia 52 tahun sebelum ini berdepan 10 tuduhan feloni atas dakwaan mendera empat wanita pada Februari lalu.
Kelly atau nama sebenarnya ialah Robert Kelly itu tidak mengaku bersalah ke atas semua tuduhan itu dan mendakwa kesemua mangsa sebagai berbohong.
Peguamnya Steve Greenberg berkata, semua tuduhan baharu itu membabitkan seorang daripada mangsa yang difailkan semula
“Semuanya tuduhan baharu dan hanya tuduhan sahaja berbeza membabitkan mangsa, waktu dan fakta yang sama,” katanya menerusi Twitter.
Kesemua 11 pertuduhan itu yang diserahkan juri utama di Chicago memiliki kaitan dengan serangan dan penderaan seksual pada Januari 2010 ke atas individu dikenali sebagai JP.
Tiga daripada pertuduhan itu membabitkan penderaan seksual ke atas kanak-kanak berusia antara 13 dan 16 tahun.
Dalam beberapa pertuduhan, Kelly dituduh mengugut atau menggunakan kekerasan ke atas JP.
Penyanyi itu kini dibebaskan dengan ikat jamin dan dijadualkan hadir ke mahkamah pada 6 Jun untuk pertuduhan baharu itu. – MalaysiaGazette