Home Sukan Young tarik minat DC United

Young tarik minat DC United

Ashley Young. Foto The Sun.

LONDON – Pemain Manchester United, Ashley Young dilaporkan telah dilamar menyertai bekas rakan sepasukan di DC United , Wayne Rooney pada jendela perpindahan musim panas ini.

DC United kini beraksi di dalam Liga Utama Sepak Bola Amerika Syarikat (MLS).

United pula dalam perancangan untuk merombak skuad sedia ada namun Young adalah pemain yang baru dikekalkan dengan kontrak baharu selama setahun pada Februari lalu.

Menurut laporan media, pengurus Ole Gunnar Solskjaer berkemungkinan akan menerima bidaan mana-mana pihak sekiranya mendapat tawaran yang difikirkan wajar untuk pemain pertahanan berusia 33 tahun itu.

Manchester Evening News adalah portal pertama yang mendedahkan minat DC United untuk mendapatkan khidmat Young.

Sebelum ini rata-rata penyokong MUnited terkejut apabila Young dilanjutkan kontrak untuk kekal di Old Trafford setelah melalui beberapa musim yang sukar.

Ura-ura Young akan diberikan peranan kapten pasukan untuk saingan musim hadapan turut tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan penyokong setia United.

Antonio Valencia dan Ander Herrera pula telah mengesahkan tidak lagi bersama United pada musim hadapan .

Sementara Marcos Rojo dan Matteo Darmian juga dilihat bakal menyusul serta Romelu Lukaku kini dikaitkan semakin hampir untuk menyertai Inter Milan. – MalaysiaGazette