Home Ekonomi Bursa dijangka mengukuh minggu depan

Bursa dijangka mengukuh minggu depan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan pengukuhannya pada minggu lepas, dalam urus niaga yang pendek sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Rabu dan Khamis depan, didorong oleh belian selamat ketika pasaran global jatuh susulan risiko yang wujud aikbat antiperdagangan Trump, selain pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia-Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, aset selamat atau defensif, yang merupakan saham yang memberi pulangan dividen yang tinggi di Bursa Malaysia, akan meningkat.

“Kita merekodkan pulangan dividen yang lebih tinggi berbanding tempat lain di dunia, dan kita mempunyai lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan serta kecairan untuk menyokong sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama

Beliau yang ditanya mengenai tekanan luar ke atas bursa berkata, pelabur dijangkakan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan mendapatkan perkembangan terkini mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan rakan dagangannya yang lain.

“Mereka mahu melihat ke mana arah tuju perang perdagangan ini kerana ia mungkin hanya gimik oleh presiden Amerika Syarikat itu,” katanya, dan menambah bahawa turun naik seterusnya di pasaran global dapat mempengaruhi pasaran tempatan.

Setakat ini, Nazri berkata Bursa Malaysia berada melepasi tahap 1,600, yang merupakan paras sokongan psikologi.

Saham di Asia Pasifik jatuh pada Jumaat selepas data menunjukkan bahawa aktiviti perkilangan China bagi Mei merosot lebih tinggi daripada yang dijangkakan, dengan indeks Pengurus Pembelian bagi bulan bulan akan datang pada 49.4 berbanding jangkaan penganalisis pada 49.9.

Dari perspektif teknikal, bursa tempatan terus mengukuh di sepanjang minggu yang baru berlalu, melepasi paras sokongan 1,630 mata, yang menandakan peningkatan momentum yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

“Indeks itu akan menguji rintangan seterusnya, yang dijangkakan pada 1,650. Ini dapat dilihat berdasarkan trend positif pada carta harian dengan permulaan yang perlahan dan bergerak ke tahap 80, iaitu had lebihan belian,” kata Nazri.

Untuk minggu yang baru berakhir, ekuiti tempatan mencatatkan peningkatan sepanjang lima hari walaupun pasaran global mencatatkan prestasi yang tidak menentu, disokong oleh prestasi kewangan syarikat yang baik.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI melonjak 52.44 mata kepada 1,650.76.

Indeks FBM Emas meningkat 400.45 mata kepada 11,588.37, Indeks FBMT 100 melonjak 408.69 mata kepada 11,450.50 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 480.27 mata kepada 11,795.77.

Indeks FBM Ace meningkat 10.42 mata kepada 4,299.42 dan FBM 70 menambah 691 mata kepada 14,240.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 313.48 mata kepada 16,848.04, Indeks Perladangan menambah 105.77 mata kepada 6,922.86, namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.96 mata kepada 160.05.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 10.64 bilion unit bernilai RM12.87 bilion berbanding 6.07 bilion unit bernilai RM5.12 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat hampir dua kali ganda kepada 7.29 bilion saham bernilai RM12.19 bilion berbanding 3.83 bilion saham bernilai RM4.67 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.08 bilion unit bernilai RM463.1 juta berbanding 1.06 bilion unit bernilai RM280.38 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.27 bilion saham bernilai RM211.99 juta berbanding 1.16 bilion saham bernilai RM177.59 juta. – MalaysiaGazette

+ posts