Home Ekonomi Qualitas intai Vietnam, sasar tambah 200 cawangan lagi

Qualitas intai Vietnam, sasar tambah 200 cawangan lagi

Dr. Ameen Noorul Bin Mohamed Ishack (tengah).

KUALA LUMPUR – Kumpulan Perubatan Qualitas (Qualitas) mensasarkan untuk menambah 200 lagi cawangan kliniknya dalam perluasan rangkaian globalnya dalam tempoh tiga tahun akan datang datang.

Dengan pertambahan itu, Qualitas akan memiliki 500 buah klinik menjelang tahun 2022, termasuk memberi fokus kepada pasaran Asia Tenggara dalam pertumbuhan baharu dan strategi penembusan pasaran.

Pengerusi Qualitas, Datuk Dr. Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata, pasaran Vietnam akan menjadi fasa pertamanya di pasaran Asia Tenggara.

Menurutnya, ia sedang dalam proses terakhir untuk mengambil alih pusat perubatan di Ho Chi Minh.

“Dengan lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam industri penjagaan kesihatan utama, kami kekal memberi tumpuan dalam menawarkan perkhidmatan penjagaan pesakit luar yang berkualiti tinggi di Malaysia, Singapura, Australia dan lain-lain.

“Apabila menilai pasaran baru yang berpotensi, kita ambil pertimbangan negara-negara dengan penduduk kelas menengah baru muncul dan meningkat perbelanjaan penjagaan kesihatan seperti Vietnam, khususnya di bandar-bandar seperti Ho Chi Minh City,
Hanoi dan Da Nang,” katanya sambil menyifatkan Vietnam menyaksikan pertumbuhan ekonomi stabil dan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan meningkat.

Qualitas, katanya, mensasarkan beberapa pusat perubatan sendiri dalam tempoh lima tahun di Vietnam, selain meneroka pasaran Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

Di rantau Asia Tenggara, terdapat banyak cabaran daripada bekalan kemudahan penjagaan kesihatan, oleh itu, Qualitas mengembangkan rangkaian kemudahan penjagaan kesihatannya di Asia Tenggara dengan cawangan di Malaysia, Australia dan Singapura dengan
276 klinik, sebuah pusat penjagaan ambulatori, 13 klinik pergigian dan 11 pusat pengimejan perubatan

Dr Noorul berkata, Malaysia masih kekal sebagai rangkaian terbesar Qualitas berbanding pasaran lain, selari dengan visinya untuk merangsang penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Malaysia adalah pasaran yang berkembang maju dan menjanjikan untuk pertumbuhan yang lebih tinggi sebagai industri penjagaan kesihatan keseluruhan perbelanjaan dijangka mencecah RM80 bilion menjelang 2020,” katanya. – MalaysiaGazette