KUALA LUMPUR – Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bukan asing buat warga kota bahkan ia menjadi salah satu hab penting untuk mendapatkan perkhidmatan bas ke seluruh negara, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Saban tahun TBS akan dibanjiri ribuan orang ramai dan jumlah itu akan meningkat berkali ganda apabila tiba waktu musim cuti persekolahan dan perayaan yang mana tempoh cuti panjang.
Tinjauan MalaysiaGazette ke TBS pada minggu terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri dijangka pada 5 Jun ini mendapati orang ramai berpusu-pusu memenuhi platform seawal jam 7 pagi dan keadaan itu dijangka berterusan hingga waktu malam nanti.
Penjualan tiket tidak terhad kepada kaunter bas semata-mata bahkan kini pelbagai kaedah digunakan bagi memudahkan pengguna membeli tiket iaitu melalui mesin layan diri dan secara dalam talian.
Menurut Syakir Syukri, 20, pelajar tahun kedua Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), dia tidak perlu lagi berurusan di kaunter untuk mendapatkan tiket bas ke Kelantan.
“Biasanya saya beli tiket balik kampung lebih awal dalam talian dan lebih mudah daripada pergi ke kaunter.
“Tiket dalam talian boleh kita tahu waktu perjalanan bas dan tak perlu lagi ke kaunter malah menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di TBS, di sini, hari ini.
Bagaimanapun Syakir mahu pihak pengurusan TBS untuk memastikan syarikat operator bas menyediakan lebih banyak pengangkutan awam itu ketika musim perayaan.
“Saya rasa diperlukan tambah bas di TBS bila musim perayaan nak elak bas tak cukup.
“Hari ini saya naik bas bukan di TBS tapi di Hentian Duta sebab bas di TBS ke Kelantan mungkin sudah habis sebab itu dia bagi bas di Hentian Duta,” luahnya.
Ditanya tentang harga tiket bas, Syakir berkata sehingga musim perayaan kali ini harga masih tetap dan bergantung kepada syarikat operator bas.
“Tambang bas biasa bergantung (syarikat bas), kalau perubahan harga naik dalam RM1 hingga RM2 saja,” katanya.
Sementara itu, Zatil Hidayah Zainal, 29, suri rumah pula berkata, dia lebih selesa membeli tiket bas dalam talian berbanding di kaunter bas kerana kekangan masa.
“Saya lebih mudah beli tiket guna dalam talian sebab tak sempat nak beli di kaunter TBS.
“Beli tiket dalam talian lagi okay dari kaunter, sebab kadang-kala ada ulat tiket dan sampai tiket tak cukup, lepas tu jual pulak harga tinggi,” katanya.
Bagi Amir Hafiq Azhari, 28, dari Pengkalan Chepa, Kelantan dia lebih gemar mengambil bas ke kampungnya pada waktu malam.
“Walaupun waktu perjalanan bas ke Kelantan ada pagi, tengahari dan malam, tapi saya lebih selesa balik malam.
“Kalau saya balik Kelantan saya mesti naik bas Mutiara sebab bas dia selesa, lagi pun bas ini berhenti depan rumah, tak payah panggil orang tua jemput,” katanya.
Kata Amir Hafiq, setiap tahun TBS menjadi pilihannya untuk pulang beraya di kampung kerana pelbagai kemudahan disediakan sementara menunggu bas.
“Di sini selesa fasiliti cukup, kalau tempat lain mungkin susah dapat tempat duduk, nak makan pun senang sementara tunggu bas,” katanya.
Amir Hafiq juga berpuas hati dengan harga tiket bas yang tidak mengalami kenaikan sejak 2016 dan ia perlu dikekalkan agar rakyat tidak terbeban ketika berhadapan dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.
“Harga tiket saya rasa sama saja sebab sejak dulu lagi RM45 saja, saya harap dapat dikekalkan, jangan sampai setiap tahun harga tiket naik, nanti orang komplen, kita tahu rakyat kita macam mana,” katanya.
Bagi Zanuri Jamaluddin, 52, pembantu rumah dari Taiping Perak, dia tidak kekok membeli tiket secara dalam talian kerana lebih menjimatkan masa.
“Saya biasa beli tiket sebelum ini memang beli tiket kat kaunter sebab pakai online lagi mudah sebab kita susah nak keluar jauh dari TBS.
“Saya tak pernah beli tiket daripada ulat tiket sebab saya akan beli tiket balik kampung lebih awal,” katanya.
Katanya lagi, walaupun dia balik kampung berseorangan, namun dia tidak gentar kerana tahap keselamatan dan kemudahan yang disediakan di TBS terjamin.
“Alhamdulilah sudah tiga kali raya mesti naik bas dari TBS, rasa selamat dan yakin dengan tahap keselamatan di sini, kemudahan pula banyak di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette