KUALA LUMPUR- Penyebaran maklumat tidak sahih mengenai penangkapan ahli perniagaan Jho Thaek Low boleh menggagalkan operasi sulit untuk mengesan, menangkap dan membawa balik pelarian yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) itu.
Menurut Penasihat Media kepada Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin berkata, meskipun ramai dalam kalangan rakyat yang mahukan Jho Low dihadapkan ke muka pengadilan namun penyebaran berita palsu mengenai penangkapan beliau seperti yang berlaku baru-baru ini hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Kesimpulannya, kebanyakan kita mahu Jho Low dibawa balik untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
“Tetapi janganlah ada sesiapa pun yang memberi harapan palsu yang akan mengecewakan kita semua atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat.
“Kadang-kala penyebaran maklumat tidak sah dan berita palsu boleh menggagalkan operasi sulit seperti mengesan, mengangkap dan membawa balik pelarian undang-undang Jho Low ini,” katanya di dalam laman blognya hari ini.
Kadir yang menggelarkan Jho Low sebagai individu yang bijak tetapi jahat dan merbahaya kerana berjaya mempengaruhi pemimpin atasan di usia seawal 28 tahun itu berkata, beliau bimbang dengan perbuatan suka menularkan khabar-khabar angin sebagai berita atau maklumat sahih di media arus perdana dan sosial.
“Saya bimbang bahawa akibat penggunaan media sosial yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat kita menjadi semakin gossipy atau dalam bahasa Melayu popular membawang.
“Memanglah kita yang menghormati hukum undang-undang (rule of law) mahu Jho Low yang nama sebenarnya Low Taek Jho ditangkap, dibawa balik dan dibicarakan.
“Dia ini otaknya bergeliga tetapi jahat dan berbahaya. Pada usia 28 tahun dia sudah berjaya mempengaruhi ramai orang atasan dan berjaya menjadi agen bebas kepada Terengganu Investment Authority (TIA) dan kemudian 1Malaysia Development Berhad.
“Yang tidak mahu Jho Low ditangkap dan dibawa balik adalah orang dan pihak yang bersekongkol dengannya bagi menipu berpuluh bilion ringgit duit 1MDB,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Polis Negara menafikan ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho yang kini dalam pelarian berjaya ditangkap.
Dalam satu mesej kepada media hari ini, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya masih berusaha untuk memberkas lelaki yang lebih dikenali sebagai Jho Low.- MalaysiaGazette