Home Dunia Misteri kehilangan 8 pendaki di Himalaya

Misteri kehilangan 8 pendaki di Himalaya

Lapan pendaki gunung kedua tertinggi di Himalaya dilaporkan hilang sejak 25 Mei lalu dan misi pencarian sudah diaktifkan.

UTTARAKHAND – Nampaknya kes kematian dan kehilangan pendaki di banjaran Himalaya  mula bertambah rumit saban hari apabila dalam perkembangan terbaharu sekumpulan lapan pendaki pula dilaporkan hilang secara misteri sejak 25 Mei lalu.

Kesemua mereka dikatakan hilang ketika mendaki gunung kedua tertinggi India yang terletak di banjaran tersebut.

Pasukan yang terdiri daripada empat pendaki dari United Kingdom itu memulakan pendakian di Gunung Nanda Devi setinggi 7,816 meter dari arah Timur di banjaran Himalaya pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun mereka dilaporkan tidak kembali ke base camp gunung paling mencabar untuk pendakian seperti yang dijadualkan .

Pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan untuk mengesan mereka di kawasan pergunungan itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan memberi amaran hujan lebat dan runtuhan salji menjejaskan misi tersebut.

“Kami telah mengaktifkan sumber untuk menjejaki pendaki yang dilaporkan hilang sehingga kini, tetapi cuaca telah menghalang misi kami daripada diteruskan,” kata Majistret Daerah Pithoragarh Vijay Kumar Jogdande.

Tentera Udara India juga dijangka akan digunakan hari ini untuk meneruskan pencarian lapan pendaki itu.

Terdapat juga dua pendaki warga Amerika, seorang warga India dan seorang lagi pendaki warga Australia.

Mereka antara 12 orang yang bergerak dalam sekumpuan memulakan pendakian yang dipandu oleh pendaki berpengalaman British Martin Moran.

Bagaimanapun 12 hari selepas pendakian iaitu pada 25 Mei lalu, hanya emopat daripada mereka kembali ke Base Camp yang terletak pada ketinggian 6,000 meter, kata Pegawai Kanan Daerah Uttarakhand, R.D. Paliwal.

Pihak berkuasa juga masih tidak dapat memastikan sama ada kesemua lapan pendaki itu hilang ketika menuju ke puncak atau menurun dari puncak.

Jabatan Hal Ehwal Luar Australia mengesahkan maklumat kehilangan warganegaranya telah dimaklumkan kepada ahli keluarganya.

Martin adalah mewakili syarikat berpengkalan di Scotland yang berpengalaman menganjurkan ekspidisi mendaki di Himalaya.- MalaysiaGazette