Home Politik Pemuda PH buat laporan polis kes edit gambar Mujahid

Pemuda PH buat laporan polis kes edit gambar Mujahid

Abdullah Zawawi (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung posting memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kubang Kerian membuat laporna polis berhubung satu hantaran di Facebook memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ketua pemudanya, Abdullah Zawawi Wahab berkata, pihaknya merasa kesal dan terkilan dengan hantaran di media sosial oleh pemilik akaun Shamsul Faisal Abdul Wahab itu apabila menggambarkan Mujahid seolah-olah merayakan dan mengambil bahagian dalam perayaan Thaipusam serta mengamalkan pluralisme dalam beragama.

“Penularan paparan ini ternyata berniat jahat dan tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memburukkan nama dan menjatuhkan maruah YB Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa sekaligus merosakkan imej Kerajaan PH yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Kerajaan PH tidak bererti pembangkang dan penyokong-penyokongnya mempunyai hak untuk memfitnah dan mengadu domba sehingga memecahbelahkan keharmonian antara kaum di negara Malaysia tercinta ini,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Justeru, Abdullah Zawawi meminta Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia supaya menyiasat perkara tersebut dengan segera berdasarkan laporan yang dibuat.

Malah, beliau turut menggesa pihak berkuasa mengheret pemilik akaun laman sosial terbabit kemuka pengadilan sebagai memberi pengajaran kepadanya serta warga maya lain agar berhati-hati dalam menyebarkan apa-apa jua gambar, artikel dan pautan serta tidak sesekali memfitnah, mengedit secara negatif atau mewujudkan salah tafsir terhadap mana-mana menteri secara khususnya dan kerajaan PH secara amnya.

Terdahulu, Mujahid menerusi hantaran di Facebook memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara sama.

Katanya, beliau yakin pemilik akaun Facebook itu berbuat demikian dengan tujuan untuk memburukkan maruahnya. – MalaysiaGazette