Home Seni Hidup 13 kampung di Alur Limbat diterangi cahaya pelita

13 kampung di Alur Limbat diterangi cahaya pelita

KUALA TERENGGANU – Bagi mengembalikan nostalgia Hari Raya Aidilfitri, 13 kampung yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat diterangi cahaya kira-kira 200 lampu pelita bersempena Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata pertandingan yang bermula 30 Mei sehingga 7 Jun itu menyaksikan setiap kampung yang terlibat membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita mengikut kreativiti masing-masing.

“Setiap MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) yang terlibat dibekalkan dengan 200 pelita dan minyak tanah dan peserta perlu memilih kawasan atau tapak untuk memasang pelita raya tersebut berdasarkan kesesuaian.

“Proses penjurian akan dibuat sepanjang pertandingan berlangsung dan kampung yang paling kreatif dan menepati kriteria yang ditetapkan akan diumumkan sebagai pemenang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019 di Kampung Gelugor di sini malam tadi.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Alur Limbat berkata pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM500, tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan tempat keempat (RM100).

Dalam pada itu, Ariffin berkata pihaknya bercadang untuk mengadakan pertandingan tersebut bagi peringkat antara daerah pada tahun hadapan.

Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2019 yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bagi peringkat kampung dalam kawasan DUN mula diperkenalkan pada 2009, melibatkan DUN Tepuh dan kemudian diadakan di kawasan lain.- BERNAMA