Home Utama Jika sikap pemandu tak berubah, kes kemalangan lebih tinggi tahun ini

Jika sikap pemandu tak berubah, kes kemalangan lebih tinggi tahun ini

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid (tengah) memeriksa Sijil Pemeriksaan Bas ketika mengadakan lawatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 03 JUN 2019

KUALA LUMPUR- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memeriksa sebanyak 34,595 buah kenderaan dan mengeluarkan 21,948 notis saman sepanjang Operasi Penguatkuasaan Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA) setakat hari ini.

Daripada jumlah tersebut 36 saman telah dikeluarkan kepada pemandu bas ekspres yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya terutama melibatkan tata kelakuan semasa pemanduan.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid, kebanyakan saman dikeluarkan hasil daripada pemantauan anggota-anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang di dalam bas-bas berkenaan.

MGF03062019_KETUA PENGARAH JPJ DI TBS31
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid

Operasi yang bermula selama dua minggu sejak 29 Mei lalu melibatkan 4,010 anggota dari semua bahagia JPJ Negeri termasuk cawangan, stesen penguatkuasa dan stesen kawalan sempadan, tambahnya.

Jelas Shaharuddin, secara amnya, jumlah notis saman yang dikeluarkan oleh JPJ meningkat berbanding tahun lepas.

Ini berikutan penambahan penguatkuasa yang terlibat sepanjang operasi pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui sikap pemandu yang tidak cakna kepada undang-undang jalan raya masih tidak berubah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kesedaran pemandu masih tidak berubah. Itu pun kita ada anggota yang menyamar (menjadi penumpang bas), bagaimana jika tidak ada?

“Walaupun kami telah meuar-uarkan kehadiran anggota yang akan menyamar sebagai penumpang bas, para pemandu ini masih tidak takut untuk melakukan kesalahan jalan raya,” katanya semasa sidang media selepas melakukan pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Jelas Shaharuddin, antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh pemandu bas ekspres sepanjang ops itu berlangsung adalah memandu di lorong kanan terlalu lama, menggunakan telefon bimbit dan merokok semasa memandu.

Kesemua saman dikeluarkan apabila bas tiba ke destinasi yang dituju.

Terdapat juga katanya, tiga kes melibatkan pemandu yang memandu dalam pengaruh dadah jenis ganja dan syabu.

Para pemandu bas berkenaan diarahkan untuk memberhentikan kenderaan dan syarikat diminta untuk menukar pemandu yang lain.

Menurut Shaharuddin, sejumlah 7,012 kes kemalangan direkodkan sepanjang tempoh 29 Mei lalu sehingga semalam.

“Angka ini agak tinggi, mungkin disebabkan tempoh untuk pulang berhari raya pada tahun ini agak panjang.

“Ramai yang sudah memulakan perjalanan pulang ke kampung sejak minggu lalu dan ini menyebabkan kes-kes kemalangan yang direkodkan juga tinggi.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, perjalanan pulang ke kampung hanya sekitar tiga hari sebelum 1 Syawal,” katanya lagi.- MalaysiaGazette