Home Utama Saya tak tahu lantik peguam perlu dapat restu AG – Zuraida

Saya tak tahu lantik peguam perlu dapat restu AG – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (tengah) berbual mesra bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome, Wong Whei Meng (tiga kiri) serta yang lain pada Majlis Pelancaran Speedhome di Ara Damansara, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 03 JUN 2019.

PETALING JAYA – Zuraida Kamaruddin mengakui tidak mengetahui pihaknya perlu mendapat nasihat Peguam Negara sebelum melantik peguam sendiri dalam inkues Allahyarham Adib.

Malah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, selepas prosiding inkues kematian anggota bomba itu berjalan beberapa bulan pun tidak ada mana-mana pihak membangkitkan isu pihaknya melantik peguam.

Sehinggalah perkara berkenaan disuarakan Peguam Negara Tommy Thomas baru-baru ini.

“Saya tidak dinasihatkan lebih awal, bahawa apa-apa pelantikan peguam perlu melalui Jabatan Peguam Negara. Saya buat lantikan itu sendiri dan dalam proses inkues tiada yang bangkitkan isu itu jadi saya sangkakan semuanya tiada masalah, okay,” katanya  pada Majlis Pelancaran Speedhome di Ara Damansara hari ini.

Pelantikan peguam mewakili KPKT itu kata Zuraida akan dimuktamadkan sebelum 26 Jun akan datang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana pelantikan Syazlin Mansor peguam keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam masa yang sama menjadi wakil kerajaan boleh berlaku sebelum ini.

Zuraida seterusnya memberi jaminan maklumat yang diperoleh daripada inkues termasuk keterangan semua saksi yang dipanggil Mahkamah Koroner lebih kurang 36 hari akan dijadikan sebagai sandaran membuat maklumat.

Katanya lagi, tidak akan ada satu pun maklumat yang bakal disisihkan.

“Semua maklumat saksi yang dibawa semasa 36 hari inkues semua akan diambil kira tidak ada yang akan diabaikan,”tambah beliau. -MalaysiaGazette