PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan berita mengenai rombakan kabinet hanya benar sekiranya perkara itu keluar daripada mulut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, berita mengenai rombakan kabinet ini sudah lama ‘dimainkan’ media dan pihak tertentu namun ia masih belum disahkan.
“Selagi saya tidak dengar daripada PM sendiri akan ada rombakan maka saya anggap tidak akan ada apa-apa rombakan,” katanya dalam sidang media selepas menemui beberapa Orang Kelainan Upaya (OKU) di pejabatnya hari ini.
Khabar angin kuat menyatakan akan berlaku rombakan kabinet selepas Hari Raya Aidilftri minggu depan.
Laporan Malaysia Gazette sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya tiga menteri dan lima timbalan menteri bakal digugurkan dari kabinet serta kementerian.
Antara menteri yang menjadi sebutan di media sosial yang akan digantikan dengan muka baharu ialah Dr. Maszlee Malik, Senator P. Waythamoorthy dan Datuk Seri Rina Harun.
Mahathir Mohamad dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi mereka sepanjang setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Zuraida yang juga Ketua Wanita PH itu turut ditanya mengenai tindakan dua ketua wanita cabang PKR Melaka yang meletakkan jawatan masing-masing semalam.
Menurut beliau, satu langkah drastik di peringkat parti perlu diambil bagi memastikan perkara itu tidak berulang di kawasan-kawasan lain.
“Kalau perkara ini sudah dikhabarkan maka sesiapa sahaja boleh meninggalkan parti tapi kalau apa yang terjadi itu akibat daripada kelalaian maka saya harap pihak parti mengambil pelajaran dan memperbaiki prestasi parti.
“Sekiranya ada ada kelalaian daripada pihak parti, kita akan ambil iktibar untuk memperbaiki keadaan,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Wanita PKR cabang Tangga Batu, Rohanie Mahmud meletak jawatan dan menyertai UMNO, manakala Ketua Wanita PKR cabang Kota Melaka, Lilla Madon meletak jawatan kerana faktor kesihatan. -MalaysiaGazette