Home Dunia UK tarik balik jualan kek keju Cadbury

UK tarik balik jualan kek keju Cadbury

UK menarik balik jualan kem keju jenama Cadbury dari pasaran kerana dikhuatiri mengandungi bakteria merbahaya iaitu Listeria yang boleh membahayakan pengguna.

ENGLAND – Dua produk kek keju keluaran Cadbury ditarik balik di United Kingdom kerana dikhuatiri mengandungi bakteria merbahaya.

Kebanyakan pasar raya di UK menarik semula Cadbury Cheesecake dan Cadbury Dairy Milk Cheesecake Puddings daripada rak jualan kerana dikhuatiri mengandungi sejenis bakteria merbahaya iaitu Listeria Monocytogenes.

Pengguna didesak oleh Agensi Makanan Standard supaya tidak memakan kedua-dua produk kek berkenaan dan diminta memulangkan segera produk tersebut.

Muller, yang mengeluarkan kedua dua produk makanan itu dengan lesen yang diperoleh dari Cadbury berkata, kedua-dua produk itu telah ditarik semula dari pasaran tempatan.

Menurutnya, bakteria berkenaan boleh mengakibatkan listeriosis yang boleh mengundang kesan buruk iaitu suhu badan tinggi, sakit otot, menggigil, mual dan cirit-birit terhadap pengguna.

Namun dalam kes tertentu ia boleh membawa kepada komplikasi seperti dan beberapa jangkitan serius.

Menurut Lembaga Keselamatan Makanan Europa (EFSA), seramai 11 orang di UK telah terjejas akibat listeriosis sejak tahun 2015 termasuk dua kematian pada tahun 2017.

Orang yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah, warga emas dan wanita mengandung dikatakan berisiko tinggi terdedah dengan listeriosis.

Jurucakap syarikat Muller UK berkata, pihaknya telah menarik balik makanan pencuci mulut iaitu Kek Keju susu jenama Cadbury Dairy Milk Cheesecake dan Cadbury Dairy Milk Caramel Cheesecake dessert dari pasaran sebagai langkah berjaga-jaga.

“Muller menghasilkan kedua dua produk ini dengan lesen yang diterima dari Cadbury dan telah menekankan bahawa ia tidak menjejaskan produk lain yang dikeluarkan untuk Cadbury atau varian Kek Keju Cadbury yang ada di pasaran UK atau pasaran lain (luar negara).

Dalam notis segera penarikan semula produk berkenaan di pasaraya, Muller menambah: “Kami ingin menekankan sekali lagi bahawa ini adalah kes terpencil dan siasatan dijalankan.

“Kami memohon maaf kepada pengguna atas sebarang kesulitan dan terima kasih atas kerajasama anda dalam perkara ini,” sebut syarikat itu. – MalaysiaGazette