Home Utama Ada menteri tak mahu buat kerja, lepas tangan kepada Tun M –...

Ada menteri tak mahu buat kerja, lepas tangan kepada Tun M – Kadir

A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Menteri khasnya yang memegang portfolio seperti kewangan, ekonomi dan juga perdagangan diingatkan supaya lebih proaktif dan bertanggungjawab bagi menaikkan nama negara di mata dunia.

Malah kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin, menteri tersebut perlu melepaskan semua tanggungjawab

Jelas penasihat media Tun Mahathir itu, dirinya cukup ‘jengkel’ dengan segelintir pimpinan khasnya menteri utama yang enggan melibatkan diri dengan ahli-ahli perniagaan penting, pelabur dan pengurus dana tempatan serta antarabangsa.

“Saya syorkan kepada para menteri supaya lebih berani, lebih menonjol selain daripada bersedia untuk mengambil bahagian dalam persidangan-persidangan pelaburan di peringkat global.

“Saya jengkel sebenarnya dengan segelintir menteri kerana ada yang enggan libatkan diri dengan aktiviti pelaburan seperti mendekati ahli perniagaan, pelabur dalam dan luar negara.

“Sepatutnya setahun ini anda telah kumpulkan pengetahuan serta pengalaman secukupnya dalam melibatkan diri dengan kepentingan utama negara terutamanya di peringkat antarabangsa selain daripada meninggalkan rutin harian mengendalikan penjawat awam semata-mata.

“Saya terkejut, kita sebenarnya telah melaksanakan pelbagai perkara sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 namun banyak sangat yang tidak diketahui langsung oleh pelabur antarabangsa” katanya dalam blog hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurus dana, pelabur, penganalisis serta wartawan di Singapura minggu lepas bersama-sama Penasihat Ekonomi, Dr Muhamed Abdul Khalid di Forum Asia 2019.

Jelas Kadir Jasin yang sentiasa vokal itu, pemimpin PH sepatutnya sudah jauh lebih berani untuk berdepan dan menghadapi kumpulan domestik dan antarabangsa yang pastinya membawa kejayaan besar kepada negara.

Sebaliknya sikap membiarkan Perdana Menteri, Mahathir menangani semua perkara termasuk membawa masuk pelaburan luar ke negara adalah sesuatu yang perlu di ubah pada masa hadapan.

“Menteri khususnya yang bertanggungjawab dalam bidang ekonomi, kewangan dan perdagangan harus jadi jaguh kampung dan jaguh dunia sebenarnya pada masa kini.

“Adalah sangat tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab untuk hanya mengharapkan Tun Mahathir sahaja sepanjang masa.

“Kepada mereka yang sudah mula melibatkan diri dengan pelabur luar, sila percepatkan langkah kamu, jika belum mula tolonglah mulakan dengan cepat.

“Ada banyak ‘cerita’ menarik dan bermanfaat yang kita boleh persembahkan kepada dunia antarabangsa tentang negara kita, janganlah segan,” tegasnya. –MalaysiaGazette