Home Nasional AMK desak segera kaji semula pelantikan Latheefa

AMK desak segera kaji semula pelantikan Latheefa

Aziq farhan ketua Penerangan AMK Pandan

KUALA LUMPUR – Nampaknya hanya beberapa jam selepas Latheefa Beebi Koya diangkat mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pelbagai reaksi dalam kalangan pemain politik mempersoalkan kewajaran di sebalik pelantikan tersebut.

Terbaharu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Parlimen Pandan pula tampil mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula pelantikan Latheefa seperti yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Ketua Penerangannya, Haziq Farhan berkata, pelantikan bekas ahli PKR itu serta Pengarah Lawyer For Liberty itu wajar dipertimbangkan semula dengan kadar segera.

Katanya, pelantikan tersebut bercanggah dengan Janji 14 Manifesto Pakatan Harapan berkaitan Mereformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memperkasa usaha membanteras rasuah di mana pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

“Kedua ini bukan lantikan pertama yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebegini rupa apabila pelantikan Azhar Azizan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak dilakukan melalui pengesahan oleh Parlimen.

“Apakah justifikasi memendekkan tempoh kontrak Datuk Seri Mohd Shukri yang sepatutnya berjalan hingga 17 Mei 2020 manakala lantikan Latheefa Koya juga tidak selaras dengan Janji 21 Manifesto Pakatan Harapan dalam memperkasa perkhidmatan awam,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya memberikan kepercayaan dan penghormatan yang lebih tinggi kepada para pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif mengenai selok belok urus tadbir SPRM berbanding orang luar seperti Latheefa Koya.

Menurutnya, walaupun beliau pernah berkhidmat sebagai seorang peguambela sekian lama tetapi beliau tidak berpengalaman dalam hal pendakwaan dan mengendalikan tadbir urus agensi kerajaan.

“Pelantikan Latheefa Koya bukan sahaja menimbulkan beberapa persoalan yang merunsingkan malah merosakkan imej Kerajaan Persekutuan dibawah pentadbiran PH.

“Tindakan mengejut ini wajar dikaji semula dengan kadar segera,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette