KUALA LUMPUR – Seperti tidak ada kesudahan ‘perang’ antara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan segelintir pimpinan DAP.
Terbaharu Maszlee sekali lagi beliau berdepan dengan kritikan pedas sekalipun mendapat sokongan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP merangkap EXCO Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini membuat teguran ‘keras’ terhadap kenyataan Maszlee berhubung isu kemasukan matrikulasi dalam salah satu temuramahnya.
Kata Chang Kim, Maszlee tidak sepatutnya selalu mempertahankan dirinya hanya dengan menggunakan contoh dirinya sentiasa mempunyai sokongan kuat daripada Perdana Menteri.
Malah kata Chang Kim, alasan Maszlee juga mempunyai ahli keluarga dalam kalangan masyarakat Cina atau kawan-kawan Cina kerana secara umumnya rakyat tidak akan termakan dengan kenyataan-kenyataan seperti itu lagi.
“Jika anda tidak mahu memahami dengan minda lebih terbuka mengapakah orang memarahi kamu sebaliknya berterusan mengulangi kenyataan salah malah terus menegakan benang yang basah kononnya kenyataan-kenyataan kamu itu telah disalah tafsir selain daripada diperbesarkan,pastinya semua akan berterusan menyerang kamu.
“Tidak kira jika kamu mempunyai ahli keluarga dalam kalangan masyarakat Cina mahupun kawan-kawan dari komuniti itu. Ini juga termasuk kenyataan kamu bahawa kamu mempunyai sokongan Perdana Menteri.
“Jangan selalu sangat gunakan alasan kawan Cina kamu, atau keluarga Cina kamu ataupun sokongan Perdana Menteri, umum selalunya tidak akan selalu terima dan percaya alasan sebegini,” tulisnya.
Sebelum ini, Maszlee pernah mengeluarkan kenyataan matrikulasi bertujuan menyelesaikan masalah imbangan kaum yang sebenarnya sudah tidak seimbang di universiti memandangkan kedudukan ekonomi Melayu jauh lebih rendah.
Dalam sebuah temuramah semalam, Maszlee sekali lagi bercakap tentang isu ini termasuk mengatakan ada kenyataan ‘sama rata’ beliau itu sebenarnya tidak berapa disenangi termasuk keluarga beliau dalam kalangan Cina.
“Saya juga ada keluarga dalam kalangan Cina, juga akwan-kawan Cina khasnya di kawasan Parlimen saya di Simpang Renggam, ada yang tidak senang dengan apa yang di salah tafsir ini.
“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri menasihati saya supaya tidak mengambil hati sangat dengan apa yang berlaku ini,” ujarnya.
Chang Kim sebelum ini menyifatkan Maszlee sebagai ‘bodoh’ sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tiada bezanya dengan pemimpin UMNO. –MalaysiaGazette