Home Nasional Paip pecah: Bekalan secara berperingkat

Paip pecah: Bekalan secara berperingkat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Air Selangor memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan paip utama 1800mm pecah di Setia Alam telah siap dilaksanakan pada pukul 4 pagi tadi.

Sehubungan itu, bekalan telah dibuka sejurus kerja siap dan pemulihan bekalan sedang berlangsung secara berperingkat dan beberapa kawasan sudah mula mendapat bekalan air.

“Kami sedang menumpukan fokus bagi meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki masih diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya selain pengaktifan 5 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 3 lokasi Pili Awam bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas.

Kejadian paip pecah itu menyebabkan beberapa kawasan, termasuk Ambang Botanik, Bandar Bukit Tinggi, Pelabuhan Utara dan Sijangkang, terjejas, sekali gus menjejaskan persiapan pengguna dalam membuat persiapan Aidilfitri. – MalaysiaGazette