Home Nasional Tidak sempat sambut Syawal, pemuda maut motosikal terbabas

Tidak sempat sambut Syawal, pemuda maut motosikal terbabas

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di atas rumput bahu jalan kiri di lebuh raya utara selatan selepas Tol Duta menghala ke Utara oleh polis petang tadi.

KUALA LUMPUR – Hari malang kepada seorang pekerja  swasta bagi menyambut 1 Syawal esok apabila maut 9dalam satu kejadian kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan selepas Tol Jalan Duta hari ini.

Kejadian berlaku jam lebih kurang 3.40 petang tadi ketika mangsa berusia 27 tahun sedang menunggang motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati mangsa Mohd Aziem Razali menunggang motosikal seorang diri sedang dalam perjalanan dari Tol Jalan Duta ke arah utara.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna Oren yang ditunggang mangsa hilang kawalan ketika berada di lorong kiri laluan ekspres lebuhraya itu.

“Akibatnya mangsa melanggar ‘railing’ atau penghadang besi di bahu kiri  sebelum tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan di kepala serta disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, motosikal mangsa juga tercampak dan bergerak lebih kurang 200 meter dari tempat mayat mangsa.

“Lokasi kejadian merupakan Jalan Ekspress dengan 3 lorong jalan sehala menghala ke Rawang (utara) manakala keadaan cuaca semasa kejadian adalah baik dan permukaan jalan kering.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 Aakta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-MalaysiaGazette