GERIK – Kertas Putih pertahanan yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, antaranya akan membincangkan semula peranan sebenar Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi mengelakkan tentera tidak terlatih terlibat dalam aktiviti pembanterasan jenayah, kata Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Beliau berkata, TDM tidak mempunyai kuasa dan tidak dilatih dalam pembanterasan jenayah kerana ia di bawah kuasa dan tanggungjawab Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Tugas TDM adalah untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar dan kami sentiasa bersiap-siaga.
“Selain itu, pucuk kepimpinan TDM juga sedang mengkaji semula strategi dari segi pengawalan pos di kawasan operasi di sempadan negara,” katanya.
Ahmad Hasbullah berkata, para pegawai dan anggota perlu berpindah-randah dari satu lokasi ke satu lokasi lain semasa dalam operasi bagi memastikan mereka dapat menguasai kawasan dengan lebih banyak, lebih tangkas dan mudah bergerak apabila dalam operasi.
Kertas putih berkenaan akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, dengan adanya kertas berkenaan semua pihak termasuk ATM, polis dan agensi lain yang berkaitan akan mempunyai garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing-masing.
Pada Mac lepas, Dr Mahathir dalam ucapan perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) berkata, kertas putih pertahanan itu adalah sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia.
Terdahulu Ahmad Hasbullah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama warga TDM di Kem Sri Banding dekat sini. Hari ini Bernama turut berkesempatan mengikuti rombongan Panglima Tentera Darat menaiki pesawat helikopter Nuri bagi melawat Kem Gubir, Sik, Kedah.
Pangkalan Operasi itu adalah penempatan kepada Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD). Lawatan dimulakan dengan perjumpaan oleh Ahmad Hasbullah bersama anggota, dan pemberian Bungkusan Raya kepada semua anggota yang bertugas di kem itu.
Semalam, Ahmad Hasbullah melawat dua kawasan operasi di sekitar Gerik iaitu Pos Pengkalan Hadapan November yang menempatkan 29 anggota dan Pos Pengkalan Hadapan Kenarong melibatkan 25 anggota dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD). – Bernama