PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan selamat hari raya kepada lebih 20,000 hadirin yang hadir ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana hari ini.
Beliau yang segak berbaju Melayu berwarna biru tiba di Seri Perdana tepat jam 12.10 tengahari tadi bagi menemui pengunjung.
Mahathir yang hanya berucap tidak sampai seminit meminta masyarakat umum untuk sentiasa mensyukuri nikmat serta keamanan yang dikecapi di negara ini.
Suara beliau juga kedengaran tidak begitu sihat dan kepenatan itu bagaimanapun tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi dengan pengunjung.
“Saya tidak boleh bercakap panjang tetapi saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri. Maafkan juga jika ada salah silap sepanjang tahun ini.
“Kita hidup dalam kalangan pelbagai latar belakang, kaum dan agama di negara ini. Kita bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman damai serta senang lenang.
“Saya doakan kita terus mengecapi nikmat ini pada tahun-tahun akan datang juga,” katanya.
Mahathir bersama isteri bersama barisan menteri kabinet bersalaman dengan pengunjung yang tidak henti kunjung pada masa ini.- MalaysiaGazette