KUALA LUMPUR – MCA menyifatkan tindakan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Faiz Fadzil mengkritik Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai kurang matang dan sekali lagi memalukan negara di mata dunia.
Pemuda MCA berkata, Faiz dan presiden partinya, Mohamad Sabu jelas tidak berwibawa untuk memimpin negara apabila rakyat mengecam mereka atas kegagalan teruknya dalam memberikan ucapan di persada antarabangsa hingga mendatangkan aib besar kepada negara.
Itu pun belum lagi mengambil kira mendedahkan rahsia negara.
“Mereka hanya berupaya mengatakan Ka Siong cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada skandal BN. Memandangkan anda sekarang berada dalam kerajaan, janganlah sekali-kali menggunakan ‘skandal’ lagi sebagai perisai untuk menutup kelemahan anda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kenyataan itu dibuat selepas Faiz tampil membela Mohamad selepas Ka Siong membidasnya ucapan Menteri Pertahanan itu pada Dialog Shangri-la – sidang kemuncak keselamatan IISS Asia ke-18 di Singapura pada 1 Jun lalu.
Ka Siong yang berkongsi video ucapan Mohamad mendakwa Presiden Amanah itu telah memalukan negara dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.
Faiz yang mengutuk kritikannya Ka Siong berkata, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu supaya tidak cuba mengalihkan perhatian orang ramai dari skandal bernilai RM1 bilion yang membabitkan institusi awam seperti 1MDB, Felda dan Tabung Haji.
Pemuda MCA berkata, isu di sini bukan penguasaan bahasa Inggerisnya yang lemah, tetapi Mohamad tidak langsung mengambil inisiatif untuk mempraktiskan ucapannya serta tidak bersedia sama sekali apabila mewakili Malaysia di pentas dunia.
Daripada mewakili negara sehingga meningkatkan keselamatan negara, beliau mengambil mudah segala-galanya.
“Wahai Mat Sabu, beringatlah anda bukan lagi tukang masak tetapi Menteri Pertahanan. Buatlah perangai seperti seorang menteri,” kata Pemuda MCA yang menyifatkan teguran kepada Mohamad adalah teguran membina dengan harapan beliau akan meningkatkan kualiti dirinya serta membanggakan semua sebagai rakyat Malaysia.
Kalaulah berucap dalam Bahasa Inggeris susah sangat, gunakanlah bahasa Malaysia di pentas dunia kerana sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan bahasa kebangsaan kita.
Pemuda MCA turut menggesa Mohamad supaya meminta maaf kepada negara atas keaibaban tersebut serta berikrar untuk memperbaiki dirinya.
“Jika semua ini tidak sanggup atau tidak berupaya dilakukan, berhentilah. Lepaskan jawatan anda, biarlah orang yang lebih berupaya mengambil alihnya.
“Ini bukanlah tindakan yang memalukan, tetapi akan mendapat pujian kerana mempraktikkan meritokrasi dalam Malaysia Baharu kita. Kita memerlukan calon yang sanggup membuat yang terbaik sebagai menteri untuk memimpin negara kita,” ujarnya.
“Terorisme telah membawa bencana kepada dunia dan banyak nyawa telah terkorban. Ini bukanlah sesuatu yang patut dipandang remeh. Kita memerlukan seorang pemimpin yang kuat dan kompeten untuk menangani hal-ehwal keselamatan negara.
“YB Mat Sabu, buatlah benda yang betul. Perbaiki atau berhenti. Kami yakin ada ramai lagi calon yang kompeten dalam PH,” katanya. – MalaysiaGazette