KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau. Seorang penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar maut dalam keadaan ngeri pada Syawal kedua dalam kemalangan hari ini.
Mangsa lelaki yang identitinya tidak dipastikan polis ditimpa nasib menyedihkan itu dalam kejadian di Kilometer 24 Lebuhraya Kajang Silk (Silk).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika kejadian kira-kira 5.25 pagi itu, mangsa Samsuri anak Adam 30, dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kajang menuju ke kediamannya di Kampung Sungai Judah, Pulau Carey, Klang.
Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai menunggang motosikal pada kelajuan tinggi tanpa memakai topi keledar.
“Mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di bahu kiri lebuh raya tersebut.
“Akibat pelanggaran berimpak kuat itu, kepala mangsa terhentak di besi pembahagi jalan dan terseret di atas pembahagi tersebut bersama dengan motosikal jenis Yamaha 125 yang ditungganginya sejauh kira-kira 60 meter.
“Akibat daripada pelanggaran kuat dan seretan itu, kepala mangsa terputus dari badannya manakala motosikalnya dijumpai 10 meter di hadapan mayat si mati,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menjumpai kesan seretan motosikal yang jelas di sepanjang tempat kejadian dalam jarak 60 meter.
Menurutnya, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi sejurus selepas menerima panggilan kemalangan itu.
Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Serdang dan dibedah siasat 10 pagi tadi
“Motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.
“Kertas siasatan telah dibuka polis di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.
” Saya sekali lagi mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas, pastikan kenderaan dalam keadaan baik serta elakkan sebarang pemanduan dalam keadaan letih terutama di musim perayaan,” tegasnya.- MalaysiaGazette