KUALA LUMPUR – Penyanyi meningkat naik, Ernie Zakri mengakui banyak nostalgia yang dirinduinya pada zaman kanak-kanak setiap kali menjelang Hari Raya.
Kata pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, ini kerana dia mula menyanyi sejak kecil dan pernah membuat persembahan selepas solat sunat Aidilfitri.
Malah jelasnya, pakaian rayanya itu hanya sempat dipakai selama sejam sebelum perlu bergegas ke lokasi persembahan.
“Zaman kanak-kanak saya jarang keluar beraya kerana jenis pemalu dan bila orang hendak bagi duit raya saya kan menyorok di belakang mama.
“Apa yang saya rindu, saya menyanyi sejak kecil dari umur lima tahun dan akan rindu buat show tiga tahun berturut-turut di Genting Highland bermula Hari Raya pertama hingga keempat.
“Banyak bekerja bukan beraya sangat kerana momen saya pakai baju Raya hanya sejam lepas itu pakai baju show. Sedih atau rindu pun ada,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Diusik soalan bila akan beraya berdua, Ernia berkata dia masih muda dan semuanya bergantung kepada jodoh Allah SWT.
“Saya baru 27 tahun dan banyak yang saya hendak kejar. Tapi tipulah kalau saya tidak mahu berkahwin. Cuma jodoh itu kalau sudah datang saya duduk juga di pelamin dan kalau belum datang, saya akan cari,” katanya.
Sementara itu, sepanjang Ramadan lalu, Ernie mula berjinak-jinak dalam perniagaan menerusi kolaborasi baju raya Syamel Ernie x Sarah J.
Katanya, biarpun ia hanyalah perniagaan kecil-kecilan namun dia cukup seronok dapat menimba pengalaman baharu.
Selain kolaborasi jenama baju raya, Ernie turut gembira apabila lagu raya pertamanya bersama Syamel, Seri Hari Lebaran mendapat perhatian ramai.
Gandingan itu sekali lagi menyaksikan keserasian mereka sebagai pasangan duet selepas single Aku Cinta dan Takkan Terlerai.
“Sebenarnya saya dan Syamel sangat bertuah kerana kami mendapat peluang menyanyikan lagu raya ciptaan komposer tersohor S. Atan yang sebelum ini banyak mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi tanah air seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Sudirman.
“Kami bangga kerana dapat lagu raya baharu daripada komposer yang memang hebat dalam industri. Ia menjadi salah satu kenangan paling manis untuk saya dan Syamel untuk raya tahun ini,” akuinya. – MalaysiaGazette