TUMPAT – Meskipun agak mengejutkan namun PAS tetap berpendapat pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah di atas kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, di satu sudut PAS melihat pelantikan itu sepatutnya melibatkan mereka yang mempunyai kepakaran profesional dan kedudukan paling kanan dalam penjawatan berkenaan.
“Dalam perjawatan ini sepatutnya ada jawatan di bawah yang akan naik seperti timbalan atau lain-lain.
“Di sini apa yang kita lihat individu luar dibawa masuk. Sebagai ahli politik kita lihat sesuatu jawatan itu perlu dilantik daripada kalangan orang yang profesional (dalam bidang itu) dan timbul persoalan adakah beliau (Latheefa) profesional dalam bidang itu seperti pegawai kanan SPRM yang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri di rumahnya di sini, hari ini.
Tambahnya, secara peribadi beliau menganggap Latheefa tiada pengalaman di dalam SPRM namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan perdana menteri atas pelantikan berkenaan. – MalaysiaGazette