Home Nasional Bangga diri, rendahkan keturunan lain sifat iblis

Bangga diri, rendahkan keturunan lain sifat iblis

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu termasuk bangsawan mahupun pemimpin yang mempunyai sikap sombong dan merasakan tarafnya tinggi dari orang lain akan dilaknat seperti iblis sepanjang masa.

Jelas Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ini kerana sifat tersebut, apatah lagi memandang rendah kepada keturunan lain, dimiliki iblis.

“Iblis tidak dilaknat kerana keengganan untuk hormat kepada Adam semata. Iblis itu sombong kerana merasakan taraf dirinya jauh lebih tinggi dibandingkan pihak lain.

“Itu sifat iblis yang berbangga dengan keturunan dan memandang rendah kepada keturunan orang lain.

“Sifat iblis itu jika ada dalam diri mana-mana individu biasa, bangsawan atau pemimpin maka dia akan menerima nasib seperti iblis iaitu dilaknat sepanjang masa,” katanya menerusi Facebook.

Kaum Melayu khususnya beragama Islam, menurut beliau, sepatutnya mempunyai sifat merendah diri.

“Orang Melayu itu terkenal dengan merendah diri, apatah lagi seorang muslim. Kesombongan boleh membawa kepada kekufuran.

“Kesombongan itu pakaian iblis dan Firaun. Justeru, Firaun dan segala kesombongannya berakhir dengan kelemasan di lautan. Demikianlah fir’aun-fir’aun kecil akan berakhir dengan trajis,” ujarnya. – MalaysiaGazette