Home Seni Hidup Diana beraya di kampung Farid

Diana beraya di kampung Farid

Pelakon, Farid Kamil bersama isterinya, Diana Danielle. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri kali ini sedikit berbeza buat pelakon, Datin Diana Danielle apabila tidak dapat beraya bersama suaminya, pelakon Datuk Farid Kamil yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Namun ia bukan penghalang buat Diana yang tetap membawa kedua-dua permata hatinya pulang ke kampung suami untuk beraya bersama keluarga mertua.

Menerusi Instagram miliknya, Diana berkongsi beberapa keping foto kemeriahan sambutan Hari Raya bersama keluarga tersayang dalam suasana kampung.

Malah gelagat anak sulungnya, Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Chemad, 6 dan adiknya Aurora, 4, mencuri perhatian pengikutnya apabila mereka tidak lekang beraya dengan kucing.

Pada 15 Mei lalu, Farid dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol Januari tahun lalu.

Pelakon filem Hanyut itu turut meraikan keriangan menyambut Syawal bersama anak-anaknya, Muhammad dan Aurora apabila balik beraya di kampung sebelah ibunya, Norsiah Ramli. – MalaysiaGazette