Home Nasional Inkues Adib: Henti tarik tali – Pemuda UMNO Tanjung Piai

Inkues Adib: Henti tarik tali – Pemuda UMNO Tanjung Piai

Seorang lelaki memakai mafla bertulis #Justice4ADIB pada Himpunan Aman "Keadilan Untukmu ADIB & Desakan Pecat P. Waytha Moorthy" di Dataran Seni, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa supaya tidak lagi berdrama dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dalam mencari keadilan untuk Allahyarham dan keluarganya.

Pergerakan Pemuda Bahagian Tanjung Piai mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Peguam Negara, Tommy Thomas dilihat seakan bermain ‘tarik tali’ dalam inkues tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim berkata, ia dilihat wujud percaturan, konspirasi dalaman dan keadaan tidak selesa yang dialami peguam, Syazlin Mansor yang mewakili kerajaan dan keluarga Allahyarham.

“(Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Zuraida (Kamaruddin) juga memaklumkan bahawa beliau masih menunggu tiga nama timbalan pendakwa raya (DPP) yang dicadangkan Jabatan Peguam Negara untuk menggantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Tapi bilakah kes ini mahu diselesaikan bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, Zuraida cakap beliau sendiri akan memilih seorang daripada mereka untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).”

“Adakah akan bertukar lagi peguam sekiranya peguam yang dipilih bertugas dengan cemerlang dan baik kerana Adib memerlukan pembelaan adil dan tegas dan jangan ada campur tangan mana mana pihak dalam hal ini biar mahkamah uruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.

Menurutnya, dalam kes berkenaan negara dikejutkan apabila Syazlin menarik diri dalam prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Tambah beliau, Peguam Negara juga telah mengemukakan beberapa sebab kenapa Syazlin tidak boleh mewakili KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat namun alasan yang dikemukakannya itu mencurigakan kerana ia dinyatakan selepas 35 hari prosiding berjalan.

Jelas beliau, pihaknya merasakan keluarga Allahyarham, JBPM serta seluruh rakyat Malaysia mahukan langkah lebih tegas dan keadilan tanpa pilih kasih memandangkan walaupun sudah enam bulan pemergian Muhammad Adib, masih tidak ada petunjuk dalam kes pembelaan Allahyarham.

“Pergerakan Pemuda UMNO Johor dan Bahagian Tanjung Piai amat bersimpati kepada keluarga Arwahyaham Adib kerana pihak kerajaan masih mengambil sikap sambil lewa dan tiada sebarang penunjuk pihak kerajaan mengambil sikap amat serius,” katanya. – MalaysiaGazette