KUALA LUMPUR – Malaysia berada dalam kelas tersendiri apabila membelasah Timor Leste 7-1 pada aksi playoff pertama kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.
Anak buah Tan Cheng Hoe tidak perlu menunggu lama untuk berpesta gol seawal minit ke-12 menerusi tandukan pemain bek kiri, La’Vere Corbin-Ong sebelum penyerang Shahrel Fikri menambah gol kedua pada minit ke-23.
Penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha menjadikan keputusan 3-0 pada minit ke-43 sebelum bintang sensasi, Safawi Rasid menutup separuh masa pertama dengan kedudukan 4-0 dua minit kemudian.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus bernafsu memburu gol namun tersentak dengan gol sagu hati pelawat pada minit ke-53 menerusi Jaoa Pedro.
Namun Harimau Malaysia bangkit mengganas apabila Safawi menambah gol keduanya pada minit ke-59.
Pemain yang mendapat gelaran ‘Messi’, Faiz Nasir menambah gol keenam menerusi volley cantik pada minit ke-78 sebelum pemain kontroversi, Akhyar Rashid menutup kedudukan 7-1 pada minit ke-89.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada saingan kedua di venue sama, pada Selasa ini.
Pemenang perlawanan pusingan pertama ini akan mara ke pusingan kedua bersama 34 negara di ranking lebih atas Asia yang berformat liga berkumpulan timbal balik, dengan setiap satu lima pasukan.
Timor Leste kini menghuni ranking ke-195 dunia manakala Malaysia berada di ranking ke-168. – MalaysiaGazette