Home Nasional Mat Sabu yakin Perdana Menteri nilai prestasi Latheefa

Mat Sabu yakin Perdana Menteri nilai prestasi Latheefa

Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Di kala pelbagai reaksi negatif khasnya dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH), Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu cuba ‘menenangkan’ keadaan.

Sambil menyatakan keyakinan penuh terhadap tindak tanduk Perdana Menteri dalam keputusan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, beliau juga pasti Tun Dr Mahathir juga mendengar kritikan serta pandangan semua orang.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pelantikan yang mengundang pelbagai kritikan daripada dalaman PH akan tetap didengari oleh Dr. Mahathir.

“Saya juga yakin Perdana Menteri akan mendengar kritikan-kritikan terhadap keputusannya selain menilai prestasi Latheefa dari semasa ke semasa.

“Jika prestasi Latheefa tidak memenuhi hasrat para pengkritik ketika ini, saya juga yakin Perdana Menteri akan buat penilaian semula,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Jelas Mat Sabu, keadaan itu sebenarnya akan merupakan kelegaan kepada kerajaan PH yang cuba memperbarui segala bentuk tindakan dan persembahan pemerintahannya kepada masyarakat dan negara.

Sejak beberapa hari lepas, ramai tampil menyuarakan rasa tidak gembira dengan pelantikan Latheefa khasnya dari DAP dan PKR kerana ia seolah-olah tidak menghormati perjanjian yang termaktub dalam janji manifesto Pilihan Raya PH.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir tetap bertegas pelantikan itu menepati kriteria apatah lagi Latheefa merupakan calon paling tepat dan tegas bagi menjawat jawatan memerangi rasuah di negara ini.

Dr. Mahathir juga secara terbuka melahirkan rasa tidak senang dengan janji manifesto yang baginya tidak adil menghukum ahli parti yang selama ini bekerja keras bagi kemenangan namun tidak dibenarkan menjawat jawatan penting dalam kerajaan. –MalaysiaGazette

Pinda Perlembagaan dulu jika mahu hadkan kuasa PM

Wakil rakyat bimbang Latheefa berat sebelah