Home Nasional Rupanya Menteri KPKT, Zuraida bekas pemain sofbal kebangsaan

Rupanya Menteri KPKT, Zuraida bekas pemain sofbal kebangsaan

KUALA LUMPUR – Gamat seketika Rumah Terbuka anjuran Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin apabila sekumpulan ‘makcik’ pelbagai kaum riuh rendah menyerbu kediaman beliau petang semalam.

MalaysiaGazette yang ketika itu baru selepas menemuramah beliau terkejut apabila mendapat tahu kumpulan itu merupakan bekas pemain sofbal mewakili negeri dan negara lebih 30 tahun lepas.

Malah Zuraida yang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sendiri merupakan wakil negara dalam permainan itu.

Sebelum itu, beliau merupakan pemain mewakili Singapura sejak usianya 9 tahun sebelum berhijrah ke Malaysia dan meneruskan minat serta bakatnya dalam sofbal penghujung 70-an itu malah pernah mewakili untuk pertandingan di peringkat antarabangsa.

Wajah-wajah bekas pemain yang kini sudah berusia itu kelihatan begitu teruja ketika bertemu dengan Zuraida malahan beliau sendiri tiba-tiba menjadi ‘keanak-anakan’ apabila bergelak ketawa sambil bercakap tentang kisah silam.

Softballkek

Sebuah kek khas yang telah direka khas oleh kumpulan ini dengan rupa bentuk bola sofbal yang kemudian di potong oleh Zuraida sambil menjerit ‘Strike Out’.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, Zuraida menyelusuri memori dengan mengakui minatnya sungguh mendalam dalam permainan itu sehingga dirinya berpeluang mewakili Singapura sebelum Malaysia untuk pelbagai pertandingan dalam dan luar negara dengan kemenangan.

“Sebelum politik, minat saya pada softball ini sukar untuk diperkatakan. Minat sangat malah kumpulan yang datang hari ini adalah yang bermain bersama-sama dengan dalam pelbagai pertandingan selama puluhan tahun. Lama juga kami tidak bertemu.

Softball3“Saya berhenti bermain sofbal ketika umur 40 tahun, sebelum itu inilah dunia saya. Mereka ini jugalah dunia saya. Ini jugalah salah satu ‘rahsia’ sebalik Zuraida selama puluhan tahun.

“Softball ini dalam darah saya malah saya sebenarnya antara pemain yang ‘top’ketika di Singapura lagi. Saya wakili Malaysia dalam siri dunia beberapa kali, Taiwan, Asia dan banyak lagi.

“Bermula dari sekolah, kemudian kumpulan remaja sebelum terpilih wakili kebangsaan dari Singapura kemudian di Malaysia. Inilah diri saya, satu ketika dulu dunia saya adalah sukan dan sofbal.

“Softball bukan satu permainan popular di negara ini tetapi ramai suka main permainan ini malah Malaysia selalu dapat tempat ketiga, yang mendahului selalunya Singapura dan Filipina. Kemudian Indonesia, Vietnam dan Thailand ikut jejak kita,” ujarnya tersenyum.

Softball2

Ketika bercakap tentang sahabat-sahabat seangkatannya dalam softball, kata Zuraida dengan penuh teruja, rata-rata adalah pemain hebat dan ada antaranya adalah anak muridnya.

“Saya tidak bertemu dengan mereka untuk sekian lama, sejak tinggalkan sofbal ketika umur 40 tahun, kini saya sudah 61 tahun. Tetapi hubungan itu tetap akrab dan kami sentiasa bercakap tentang permainan ini yang mendekatkan kami.

“Saya jemput mereka ke rumah saya hari ini dan hampir semuanya ada kelihatan teruja sama seperti dulu-dulu,” katanya. –MalaysiaGazette