KUALA LUMPUR – Tindakan mengkritik pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya membuang masa sahaja.
Ini kerana, pelantikan peguam itu telah pun dibuat oleh Perdana Menteri, kata bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull walaupun berpandangan pemilihan dalam kalangan orang dalam adalah lebih baik.
“Tetapi ini kuasa Tun. Tun hendak lantik orang luar, saya tidak boleh pertikaikan dan tidak akan pertikaikan Latheefa Koya,” katanya dalam sidang media.
Mohd Shukri mengakui beliau tidak tahu menahu tentang pelantikan Latheefa kerana sudah pun mengemukakan dua nama sebagai penganti beliau kepada perdana menteri.
Namun, beliau enggan mendedahkan nama-nama tersebut meskipun dua individu berkenaan sudah dimaklumkan tentang perkara itu.
Biarpun penggantinya orang luar, Latheefa perlu diberi peluang dan sokongan supaya beliau boleh memimpin SPRM pada tahap terbaik.
“Kalau kita melalak, membawang pun, buang masa sahaja. Tidak ada faedah. Looking forward, moving forward.
“Kemungkinan dengan tugas sebagai peguam, beliau boleh membawa idea-idea korporat untuk digabung dalam inisiatif kerajaan,” kata Mohd Shukri lagi.
Tambahnya, orang ramai jangan bimbang dengan keupayaan Latheefa untuk membuat kerja-kerja di SPRM kerana tugas tersebut dilakukan oleh kakitangan suruhanjaya tersebut.
“Jangan bimbang yang hendak membuat kerja-kerja operasi ni pegawai SPRM. Bukan KP SPRM.
“Saya pun bukan buat kerja hanya mobilise pegawai untuk buat kerja.
“Pegawai-pegawai ini memang sudah terlatih, jangan bimbang mengenainya.
“Soal sama ada Latheefa mampu untuk bebas, berkecuali tanpa tidak memihak kepada mana-mana pihak, berilah dia peluang,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Shukri menasihatkan Latheefa supaya buat kerja betul dengan cara kerja, sentiasa bebas dan jangan menyebelahi mana-mana pihak, ini penting. Akhir sekali jangan takut ditekan dan jangan sesekali tunduk pada tekanan, walaupun dibuang sekalipun.
“Saya tahu beliau boleh menjadi ketua yang baik,” katanya.
Menurutnya, jika perkara itu boleh dilalui Latheefa, beliau pasti akan menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baik.
Kepada kakitangan SPRM pula, Mohd Shukri berdoa dan menaruh harapan pelantikan Latheefa tidak menyebabkan kakitangan agensi itu kembali berpuak-puak.
“Saya doa perkara ini tidak berlaku. Letih untuk menyatukan. Lupakan yang personal, moving forward. Kita berkerja untuk negara dan rakyat,” menurutnya.
– MalaysiaGazette