KUALA LUMPUR – Momentum meningkat di Bursa Malaysia ketika ini dijangka berterusan pada minggu depan berikutan sentimen dalam pasaran kekal positif disokong oleh perkembangan luaran yang menggalakkan, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, bursa tempatan dijangka terus menyaksikan sokongan daripada pelabur asing yang merupakan pembeli bersih yang berjumlah sehingga RM253.53 juta pada minggu sebelumnya dan RM231.49 juta pada Isnin minggu ini.
“Pemain pasaran masih memantau dengan rapat perkembangan kadar faedah Amerika Syarikar (AS) kerana data senarai gaji bukan ladang baru-baru ini, yang hanya berkembang sebanyak 27,000 pekerjaan pada Mei, yang paling rendah dalam tempoh sembilan tahun, menunjukkan bahawa ekonomi negara itu sebenarnya sedang goyah.
“Orang ramai meramalkan akan ada pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan ini akan memberi rangsangan kepada ekuiti,” katanya kepada Bernama, sambil menambah perkembangan yang melibatkan ancaman tarif ke atas Mexico oleh Presiden AS Donald Trump juga dijangka memberi kesan kepada sentimen pada minggu depan.
Sementara itu, Ketua Penyelidik JF Apex Securities Lee Chung Cheng berkata paras sokongan dan ketahanan bagi minggu depan dijangka berada masing-masing pada paras 1,625 dan 1,660.
Semasa minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia bermula dengan agak perlahan berikutan sentimen lemah susulan ancaman Trump ke atas Mexico dan India, ditambah dengan data ekonomi lemah dari China.
Trump berkata beliau akan mengenakan tarif lima peratus ke atas barangan diimport dari Mexico bermula 10 Jun, cukai yang akan ‘beransur-ansur meningkat’ sehingga aliran kemasukan pendatang tanpa dokumen melintasi sempadan berhenti.
Minat terhadap aset berisiko berkurangan pada Selasa dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut daripada peningkatan enam hari berturut-turutnya di tengah-tengah sokongan lemah daripada pelabur tempatan kerana kebanyakan daripada mereka bercuti sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Selepas ditutup dua hari pada 5 dan 6 Jun, indeks utama itu melantun semula pada Jumaat susulan harapan penurunan kadar oleh AS, kebimbangan ancaman tarif ke atas Mexico yang mereda serta peningkatan harga minyak dunia.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 1.43 mata kepada 1,649.33.
Indeks FBM Emas turun 7.72 mata kepada 11,580.42, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.14 mata kepada 11,440.42 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 5.33 mata kepada 11,790.44.
Indeks FBM Ace susut 35.28 mata kepada 4,264.14 dan FBM 70 turun 13.21 mata kepada 14,227.32.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 19.18 mata kepada 16,828.86, Indeks Perladangan susut 49.39 mata kepada 6,873.47 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.49 mata kepada 160.54.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 4.15 bilion unit bernilai RM4.08 bilion daripada 10.64 bilion unit bernilai RM12.87 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.77 bilion saham bernilai RM3.83 bilion daripada 7.29 bilion saham bernilai RM12.19 bilion.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 798.82 juta unit bernilai RM173.33 juta daripada 2.08 bilion unit bernilai RM463.1 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 583.22 juta saham bernilai RM70.19 juta daripada 1.27 bilion saham bernilai RM211.99 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette