Home Nasional Khatib rebah ketika baca khutbah sebelum disahkan meninggal dunia

Khatib rebah ketika baca khutbah sebelum disahkan meninggal dunia

ALOR SETAR – Seorang khatib, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, yang sedang menyampaikan khutbah Solat Jumaat di Masjid Al-Bukhary di sini tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Jemaah yang turut berada ketika kejadian itu merangkap bekas pelajarnya, Hassan Mustafa Afifuddin, 30, ketika dihubungi Bernama berkata bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah itu rebah semasa membaca khutbah awal kira-kira 1.30 tengah semalam.

“Waktu itu saya dengar sekali khutbah disampaikan ustaz, sebelum ustaz rebah dan jatuh terlentang atas tempat khutbah. Kemudian jemaah lain ambil ustaz dari mimbar dan ada beberapa jemaah yang kerja sebagai doktor memberikan bantuan rawatan awal seperti CPR (bantuan pernafasan) dan cek nadi di leher ustaz, manakala saya pula menghubungi ambulans,” katanya.

Hassan berkata, selepas itu dia pergi mengambil isteri Allahyarham di rumah mereka untuk membawanya ke hospital berkenaan sejurus mendapat panggilan daripada isteri Ku Yaacob.

“Saya pergi ambil ustazah sebab saya dihubungi ustazah. Saya tanya ustazah dapat mana nombor saya, ustazah ambil dalam telefon ustaz yang ketika itu ditinggal di rumah, dan ustazah tergerak hati untuk menelefon saya,” katanya.

Dia berkata setibanya di hospital mereka dimaklumkan oleh pegawai perubatan yang bertugas ketika itu bahawa Timbalan Pengerusi Masjid Al-Bukhary itu sudah meninggal dunia.

Hassan berkata dia sempat pergi beraya dengan bekas gurunya itu di rumah Allahyarham pada 12.15 tengah hari ini sebelum Ku Yaacob keluar ke masjid sekitar 12.30 tengah hari untuk membuat persediaan membaca khutbah Solat Jumaat.

“Saya sempat minta ustaz baca doa dekat anak saya, dan ustaz ada menyebut dekat saya macam ini ‘Ana nak kena cepat, sebab ana bertugas baca khutbah dekat masjid’. Saya tidak menyangka hari ini kali terakhir dapat lihat ustaz,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Masjid Al-Bukhary, Abdul Rahman Yaacob berkata Allahyarham rebah selepas menyebut ayat ‘Bertakwalah pada Allah’ dan beberapa baris ayat dalam bacaan khutbahnya.

“Saya mengenali Allahyarham empat tahun lepas sejak arwah memegang jawatan Timbalan Pengerusi masjid dan kematiannya amat dicemburui kerana arwah seorang yang baik dan tidak pernah meninggikan suara ketika bercakap.

“Arwah juga sangat komited dalam melaksanakan tugasnya. Ketika bersama arwah kita juga akan berasa tenang dengan tutur katanya yang lembut,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Ku Yaacob juga sering menjadi tempat rujukan ilmu agama dalam kalangan jemaah masjid dan rakan daripada Anggota Jawatankuasa (AJK) masjid yang sama.

“Saya ada berbincang dengan arwah baru-baru ini mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah yang akan dihadiri Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Difahamkan juga, arwah pernah mengadu kepada AJK masjid mengenai keadaan dirinya yang merasakan dadanya ‘ketat’ selain menghidap penyakit kencing manis,” katanya.

— BERNAMA