Home Nasional Larangan kenderaan berat masuk PLUS hari ini dan esok

Larangan kenderaan berat masuk PLUS hari ini dan esok

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (Plus) mengesahkan arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang melarang sebarang kenderaan berat memasuki semua lebuhraya bermula hari ini dan esok.

Pendekatan ini diambil bagi melancarkan pergerakan trafik hari ini dan esok yang rata-rata pengguna pulang dari kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, arahan itu diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan terutamanya di laluan-laluan pendakian.

“Pergerakan trafik dari utara ke Kuala Lumpur adalah perlahan di Seberang Perai, Taiping ke Changkat Jering serta kawasan mendaki dari Terowong Menora ke Ipoh. Pergerakan juga perlahan di laluan mendaki di Gua Tempurung, Tapah ke Sungkai dan Bukit Tagar ke Sg Buaya.

“Di sebelah Selatan pula, trafik menghala ke Kuala Lumpur bergerak perlahan di Sedenak, Senai dan Simpang Renggam ke Ayer Hitam. Trafik juga bergerak perlahan di laluan mendaki antara Pedas Linggi dan Port Dickson,” katanya.

Dalam pada itu, Plus juga menasihatkan semua pemandu mendapatkan rehat secukupnya dengan berhenti rehat sekurang-kurangnya dua jam di kawasan rehat yang disediakan sepanjang lebuhraya.

“Surau dan tandas juga telah disediakan di plaza-plaza tol untuk para pengguna.

“Saya juga harap semuanya dalam keadaan selamat dan lebih berhati-hati khasnya yang menghala ke Kuala Lumpur, kadar kematian yang dicatatkan oleh penunggang motosikal khasnya terbabit dalam kemalangan sangat membimbangkan, semoga semuanya selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette