Home Nasional Latheefa mampu jadikan SPRM bertaring

Latheefa mampu jadikan SPRM bertaring

Datuk R Sri Sanjeevan
Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Pengalaman lebih 17 tahun di dalam dunia guaman dan memperjuangkan hak asasi manusia menerusi Lawyers for Liberty sudah cukup membuktikan Latheefa Koya mempunyai kelayakan untuk dilantik menerajui badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan berkata, soal Latheefa tidak akan bersifat neutral kerana merupakan ahli parti politik yang aktif sebelum ini hanyalah satu tohmahan dan belum lagi terbukti.

“Sebelum mengkritik beliau, semua pihak seharusnya memberikan beliau masa dan ruang untuk beliau buktikan kemampuannya memikul tugas dengan adil dan bebas.

“Bagi Individu yang mengenali Latheefa Koya dengan lebih rapat, mereka tidak akan bimbang kerana beliau sememangnya sudah terkenal dengan karakternya yang berani, tegas, dan tiada pilih kasih ketika mengenakan pakaian peguam.

“Di harap Latheefa Koya tidak terkesan dengan tohmahan negatif beberapa pihak dan semoga beliau terus fokus dalam usahanya menjadikan SPRM sebagai badan yang bertaring dan menggigit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 4 Jun lalu mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun pelantikan Latheefa dipertikai banyak pihak kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di mana lantikan jawatan utama suruhanjaya itu perlu dirujuk kepada Parlimen.

Sanjeevan juga berkata, beliau yakin dengan kelayakan yang dimiliki Latheefa malah boleh menaikkan semula imej badan penguat kuasa itu agar digeruni oleh pelaku jenayah rasuah khususnya di negara ini.

“Untuk SPRM kembali menjadi singa yang menggigit, segala kes rasuah melibatkan VIP yang sebelum ini dibakulsampahkan harus dibuka semula untuk siasatan.

“Antara kes tersebut ialah Ops Gopi yang mana individu bernama Gopi dan beberapa pegawai kanan PDRM telah ditangkap dan wang tunai ratusan juta dirampas dalam serbuan.

“Gopi ini juga mempunyai hubungan rapat dengan bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Pengarah JSJ PDRM Mohmad Salleh serta beberapa lagi pegawai tinggi PDRM,” katanya.

Katanya lagi, Latheefa boleh menutup mulut pengkritik hanya dengan membuka semula kes-kes salah laku rasuah di mana sebelum ini tidak disiasat meskipun mendapat laporan daripada banyak pihak.

“Jika kes-kes ini berjaya dibuka semula dan pesalah berjaya dihukum maka Latheefa Koya berjaya menutup mulut pihak yang lantang mengkritiknya pelantikannya sebelum ini.

“(Dengan itu) SRPM pula boleh dikira berada di landasan yang tepat menjadi sebuah badan yang disanjung tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette