Home Nasional MySalam diperluas ke pesakit hospital universiti dan ATM

MySalam diperluas ke pesakit hospital universiti dan ATM

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan berpendapatan rendah, MySalam kini diperluaskan kepada rawatan di hospital-hospital perubatan universiti dan hospital angkatan tentera.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, para pesakit hanya perlu mendapatkan pengesahan doktor pakar sebelum menerima manfaat skim mySalam.

“Kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah inovatif dengan memperluaskan jumlah hospital bagi memudahkan para pesakit dapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar.

“Skim mySalam merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara Kerajaan Persekutuan dan Great Eastern Takaful Berhad (GETB).

Ia memberi bayaran bantuan tunai sekaligus (one-off) sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung, dan penyakit alzheimer; dan elaun hospital harian RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Skim tersebut kini diperluaskan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital UiTM yang terletak di sekitar Lembah Kelang serta Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu, Kelantan.

Manakala bagi hospital angkatan tentera pula adalah Hospital Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka, Hospital Tentera Darat Gemas, Negeri Sembilan, Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Sabah.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari lalu merupakan skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

Ia merupakan   hasil  kerjasama  dengan  syarikat  insurans,  Great Eastern Holdings yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 Bilion ke dalam dana amanah mySalam.- MalaysiaGazette