KUALA LUMPUR – Jaguh badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang dikatakan akan mengumumkan persaraannya minggu depan sempat mencuri tumpuan peminat di media sosial.
Menerusi Instagram miliknya, pemain berusia 37 tahun itu memberi ucapan Hari Raya Aidilfitri dalam bentuk pantun dengan mengaitkan kegagalan memenangi pingat emas Sukan Olimpik sepanjang 19 tahun kariernya.
“Chong Wei dah cuba sedaya upaya,
Emas Olimpik tidak terdaya,
Kepada semua Selamat Hari Raya,
Mohon maaf atas segalanya,” tulis Chong Wei berseloka.
Chong Wei menambah, dia bersama isteri, Wong Mew Choo dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakan seperjuangan, jurulatih, rakan-rakan dan peminat sukan yang meraikannya.
“Juga, saya ingin memohon maaf kalau sepanjang kerjaya badminton saya, ada antara anda yang saya menghampakan.
“Ramai kawan I suka guna pepatah ‘Kosong-kosong’. Biarlah saya mohon ‘Luv-all’ dengan semua ibarat starting permainan badminton kita.
“Selepas mengharungi keseksaan kanser, saya menasihatkan semua agar menghayati setiap detik perayaan ini bersama keluarga tersayang.
“Makanlah seberapa boleh ketupat, lemang, rendang yang disediakan Mak atau Nenek. Ambiklah selfie seberapa boleh. Janji, create memories…dan post di sini.
“Oh ya, jangan lupa bawa kereta elok-elok. Be safe, for you and your family,” tulisnya lagi.
Sementara itu, Chong Wei dijangka mengumumkan persaraannya minggu depan atas nasihat doktor pakar.
Menurut sumber, Chong Wei dikatakan membuat keputusan untuk menggantung raket agar dia tidak lagi dibebani dengan tekanan.
Ini bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya sebelum ini bagi mengelakkan ia menyerang kembali.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan. – MalaysiaGazette