Home Utama Saya berhenti kerana janji, integriti – Mohd Shukri

Saya berhenti kerana janji, integriti – Mohd Shukri

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull melambaikan tangan selepas hadir pada sidang media mengenai perletakan jawatannya di Hotel Everly, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shukri Abdull hari ini tampil menjelaskan beliau bukan melepaskan jawatan, meninggalkan, sengaja memendekkan tempoh perkhidmatannya atau dipecat sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya, tindakannya untuk meninggalkan SPRM kerana berpegang kepada janji dan integriti yang dibuat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan pertama dengan perdana menteri pada Ogos tahun lalu.

Dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini, Mohd Shukri berkata, perkara itu telah dinyatakan kepada Dr Mahathir selepas beliau diminta menerajui SPRM semula.

Mohd Shukri berkata, beliau memang tidak pernah bercadang untuk kembali semula ke SPRM selepas meninggalkannya pada tahun 2016.

“Saya pergi berjumpa dengan Tun Dr Mahathir untuk meminta beliau melantik Datuk Seri Mustafa Ali. Tetapi semasa berjumpa Tun, beliau kata “esok start kerja”. Saya tergamam. Nak cakap pasal Mustafa sudah tak boleh.

“Dalam keadaan spontan saya kata, saya terima jawatan itu, Tun. Tapi saya setuju untuk tempoh setahun,” katanya.

Lantaran itu, beliau berkata, pelbagai tanggapan negatif orang ramai terhadapnya adalah tidak berasas sama sekali memandangkan pendirian untuk berada di SPRM selama tempoh yang ditetapkan bukan lagi rahsia dalam kalangan pegawai-pegwainya.

Mohd Shukri berkata, beliau menetapkan tempoh setahun dengan tujuan untuk menyelesaikan dua isu iaitu kes 1Malaysia Development Berhad serta SRC dan menangani pecah belah dan masalah berpuak-puak dalam suruhanjaya itu.

Selepas menerima jawatan itu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa telah menawarkan kontrak selama lima tahun kepadanya tetapi ditolak dengan alasan janji yang dibuat dengan Dr Mahathir selama setahun sahaja.

“Tetapi Ali kata tak cantik kalau dibuat kontrak setahun. Untuk win-win situation kontrak dibuat selama dua tahun dan saya setuju.

“Meskipun setuju, tidak semestinya saya ikut kerana janji dengan Tun Dr Mahathir setahun sahaja,” ujarnya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memberitahu, agensi itu berjaya menyelesaikan kes-kes yang menjadi fokusnya serta beberapa kes membabitkan individu berkepentingan dalam tempoh enam bulan. Malah, masalah dalaman SPRM juga selesai.

“SPRM kembali bersatu, selesai masalah pecah belah. Kroni tidak timbul lagi,” tambah beliau yang kemudian sekali berjumpa dengan perdana menteri pada awal Disember lalu.

Beliau memberitahu, perjumpaan itu selepas mendapat tahu kontrak Mustafa di Jabatan Imigresen yang berakhir pada 31 Disember 2018 tidak akan dilanjutkan. Kedudukan kontrak Mustafa itu disahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya risau fikirkan kedudukan Mustafa, jadi saya fikir untuk bawa dia balik ke SPRM. Untuk menjadi Timbalan Ketua Pesuruhaya (Operasi) sudah ada Azam (Datuk Seri Azam Baki).

“Masa itu kalau kontrak Mustafa habis, dia ada lagi tempoh sebelum bersara,” katanya.

Lantas Mohd Shukri berbincang dengan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) untuk menyerahkan jawatannya kepada Mustafa dan cadangan itu dikemukakan kepada perdana menteri pada Disember lalu.

Namun, perdana menteri tidak memberi jawapan ya atau tidak.

Tetapi tidak lama selepas itu, kedudukan Mustafa selesai apabila kerajaan melantiknya dalam Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Mohd Shukri menambah, beliau kemudian menulis surat kepada perdana menteri pada 6 Mac 2019 untuk menyatakan tentang tempoh bertugasnya seperti yang pernah dinyatakan semasa pertemuan pada 14 Ogos 2018.

Dalam surat itu, beliau turut mencadangkan dua nama pegawai dalaman SPRM.

Cadangan dalam kalangan orang dalam SPRM itu berdasarkan mereka faham misi dan visi suruhanjaya tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sekali lagi perdana menteri tidak berkata apa-apa.

Mohd Shukri berkata, beliau hanya mengetahui permintaan untuk meletakkan jawatan diterima selepas dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 4 Jun lalu.

Pada hari sama juga, beliau menerima surat penamatan kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada Ketua Setiausaha Negara. – MalaysiaGazette