Home Nasional SPRM diminta siasat pertukaran tanah Kementerian Pertahanan sejak 24 tahun

SPRM diminta siasat pertukaran tanah Kementerian Pertahanan sejak 24 tahun

SPRM

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat urus niaga pertukaran tanah (land swap) yang melibatkan Kementerian Pertahanan dengan pemaju-pemaju swasta yang berlaku sejak 24 tahun lalu.

Ketua Komunikasi PKR Wanita, Carolyn Khor berkata, urus niaga yang melibatkan pertukaran tanah antaranya di Pulau Pinang itu dilihat tidak telus.

Ini kerana, menurutnya, pemaju yang dilantik untuk membina berek askar dengan kos RM40 juta menerima dua bidang tanah di lokasi utama di kawasan pulau negeri berkenaan yang didakwanya bernilai kira-kira RM82 juta.

Katanya, berek yang terletak di Bukit Gedung itu juga telah dibina pada kos yang tinggi.

Menurut Carolyn, berek tersebut juga sepatutnya bernilai RM16 juta sahaja tetapi dilaporkan kepada Kementerian Pertahanan telah dibina pada kos RM40 juta.

“Pihak yang mendapat manfaat terbesar di dalam urus niaga ini adalah Datuk Ramzan Ismail yang merupakan pengarah dan memiliki 80 peratus kepentingan dalam syarikat pemaju, Warisan Pinang Sdn. Bhd.

“Ramzan juga merupakan pemilik penuh syarikat Kiarafield Sdn. Bhd. yang memeterai perjanjian pertukaran tanah bagi pembangunan berek askar di Bukit Gedung dengan Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Carolyn, SPRM perlu menyiasat pampasan dan pernilaian yang telah diberikan kepada syarikat berkenaan untuk pembinaan kediaman tentera baharu dalam urus niaga yang dijalankan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional itu.

Beliau mendakwa, salah satu tanah yang diserahkan kepada syarikat berkenaan adalah bekas pangkalan tentera di Northam Road, Georgetown.

Pangkalan tersebut digunakan semasa Perang Dunia Kedua dan kemudiannya digunakan oleh Divisyen Kedua Infantri di antara 1986 sehingga 2000 sebelum berpindah ke Bukit Gedung.

Satu lagi tanah yang diserahkan kepada syarikat tersebut terletak di Batu Uban, katanya.

“Secara keseluruhan 34.64 ekar tanah ditukar pada harga RM82 juta atau kira-kira RM54.34 kaki persegi.

“Satu pernilaian yang lebih baik patut diberikan. Hari ini tanah tersebut pastinya bernilai lebih RM400 juta.

“Pernilaian tanah tersebut meningkat sejak lebih 20 tahun lalu dan ini merupakan satu kerugian besar kepada kerajaan.

“Perkara ini patut dilakukan inkuiri kerana keuntungan besar telah dijana oleh pemaju-pemaju swasta melalui pertukaran tanah.

“Hartanah kerajaan telah ditukar pada harga yang sangat murah,” katanya lagi.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebelum ini mendakwa kerajaan kehilangan RM500 juta kepada pemaju-pemaju swasta dalam projek pembinaan kediaman baharu tentera apabila menerusi pertukaran tanah. -MalaysiaGazette