KUALA LUMPUR – Latheefa Koya digesa agar tidak mempedulikan kritikan serta pertikaian banyak pihak berhubung isu pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana pelantikan itu tidak perlu mendapat kebenaran Kabinet dan jawatankuasa khas Parlimen.
“Perdana Menteri tak perlu melapor kepada sesiapa tentang cadangannya yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Perdana Menteri juga tak perlu dapatkan kebenaran Kabinet Jawatankuasa khas Parlimen pun belum beroperasi. Ayuh kerja terus,” katanya dalam ciapan terbarunya, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 4 Jun lalu mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuatkuasa 1 Jun lalu.
Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan.
Bagaimanapun pelantikan Latheefa dipertikai banyak pihak kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang mana lantikan jawatan utama suruhanjaya itu perlu dirujuk kepada Parlimen.
Rais juga menyambut baik pandangan yang dilontarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelantikan Latheefa berkenaan.
“Pandangan DSHadi dan DSAI tentang pelantikn Ketua Pesuruhjaya SPRM baru rasional kesannya Di bawah s5(1) Akta SJAR,” ciapnya lagi. – MalaysiaGazette