BEIJING – Seorang remaja 14 tahun yang gemar mengambil ‘bubble tea’ terpaksa menahan sakit perut yang amat sangat dan sembelit hingga tidak lalu menjamah makanan.
Gadis yang menetap di wilayah Zhejiang itu mengadu sakit perut sejak beberapa hari ini hingga akhirnya dibawa ke hospital pada 28 Mei lalu.
Bagaimanapun, doktor gagal mengesan punca kesakitannya, lantas melakukan CT Scan.
Dalam ujian itu, para doktor menemui bayangan berbentuk sfera dalam ususnya.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat ‘tapioca pearls’ beratus-ratus jumlahnya daripada ‘bubble tea’ yang diambil oleh gadis tersebut.
Pada awalnya, dia enggan memberitahu apa yang telah dimakannya namun akhirnya mengaku mengambil ‘bubble tea’ lima hari sebelum sakit perut.
Meskipun begitu, Dr Zhang Louzhen yang memeriksa gadis berkenaan mengesyaki dia tidak bercakap benar kerana bimbang dimarahi oleh ibu bapanya.
Ini kerana, keadaan gadis itu yang teruk, kemungkinan besar dia telah mengambil sejumlah besar ‘bubble tea’ dalam jangka masa tertentu.
Disebabkan mengalami kesakitan akibat sembelit, gadis itu turut mengambil julap.
Para doktor telah memberi amaran bahawa ‘bubble tea atau boba’ yang diperbuat daripada tepung ubi sukar dihadam oleh tubuh.
Ada sesetengah kedai pula mungkin menambah bahan untuk memekat dan mengawet ‘pearls’, memakannya secara berterusan akan mengakibatkan kegagalan fungsi kepada usus. – MalaysiaGazette