Home Seni Hidup Jibek kucing unik, tawan lebih 30 gunung

Jibek kucing unik, tawan lebih 30 gunung

Jibek akan bertenggek di atas bahu Azhan ketika mendaki gunung bersama.

KUALA LUMPUR – Kucing jantan bernama Jibek ini sangat berbeza berbanding kucing peliharaan lain. Jika kucing lain dimanja dan dibelai di rumah dengan rutin hariannya makan, bermain dan tidur, Jibek membuktikan sebaliknya kerana haiwan ini aktif dalam aktiviti lasak.

Nama Jibek sebenarnya adalah singkatan kepada ‘jilat beg’ kerana ketika kecil haiwan itu memiliki tabiat pelik apabila suka menjilat beg galas mendaki kepunyaan tuannya, Azhan Dziaruddin.

Dan rupa-rupanya sikap pelik kucing baka asalnya Maine Coon berusia tiga tahun itu terbawa-bawa sehingga hari ini kerana gemar mendaki gunung.

Sejak dua tahun lalu, Jibek dikatakan sudah mendaki lebih 30 gunung di Malaysia. Jangan terkejut jika mengetahui Jibek sudah menawan Gunung Korbu, Gunung Ulu Sepat, Gunung Datuk, Gunung Angsi, Gunung Rajah, Gunung Gayong, Gunung Gap, Gunung Gagak, Gunung Kerunai, Gunung Kenderong, Gunung Rembau, Bukit Batu Chondong, Bukit Raka, Bukit Kutu, Bukit Senaling, Bukit Dua Ringgit, Bukit Chenuang dan Bukit Tabur.

cat
Jibek menceburi aktiviti mendaki sejak dua tahun lalu.

Sepanjang pendakian, Jibek yang beratnya 7.5 kilogram gemar bertenggek pada bahu Azhan, 36, dan sesekali turun berjalan sendiri dengan tali keselamatan diikat pada badannya. Jika bosan, haiwan itu berada di dalam beg galas sangkar kucing yang dibawa Azhan setiap kali mendaki.

Azhan memberitahu, kucing kesayangan itu kali pertama dibawa mendaki gunung pada April 2017 selepas mendapat galakan daripada rakan pendaki lain yang mengetahui dia memelihara haiwan berkenaan.

“Rakan-rakan selalu meminta saya cuba membawa Jibek bersama-sama mendaki sebagai teman kembara. Galakan rakan itu datang daripada inspirasi kisah haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing di negara asing yang mengikut tuannya mengembara dan mendaki.

“Ini kerana, saya sering membawa Jibek bersiarsiar menunggang motosikal dan lepak di kedai makan. Oleh itu, mereka mencadangkan supaya saya bawa Jibek bersama dalam aktiviti pendakian dan Gunung Nuang di Hulu Langat menjadi gelanggang pertama Jibek berjinak-jinak dalam aktiviti lasak ini,” katanya.

PHOTO-2019-05-27-14-04-28
Jibek memilki berat 7.5 kilogram.

Azhan tidak menyangka percubaan kali pertama itu membuahkan hasil apabila kucing berkenaan dilihat selesa dan tidak menunjukkan sebarang reaksi takut mendaki gunung setinggi 1,493 meter (m) yang juga puncak tertinggi di Selangor.

“Saya terkejut juga dengan kemampuan Jibek dalam meneruskan pendakian hingga ke puncak dengan trek yang turun naik. Jibek tidak meragam cuma sesekali menggelupur apabila disuruh jalan sendiri dan akan cepat-cepat memanjat ke atas bahu dan bertenggek pada beg galas.

“Sebelum membawa Jibek, saya tonton banyak video menerusi YouTube mengenai haiwan peliharaan di negara asing yang dibawa tuannya ikut kembara. Sedikit sebanyak saya belajar daripada rakaman video berkenaan mengenai persiapan membawa haiwan untuk kembara termasuk keperluan makan minum kucing ini.

“Malah, saya menyediakan jaket dan baju hujan untuk dipakai Jibek ketika berada pada aras tinggi berikutan suhu mula sejuk. Namun, jika hujan turun Jibek akan masuk sendiri ke dalam beg sangkarnya untuk berlindung daripada terkena air. Jibek takutkan air dan tidak senang duduk jika terdengar bunyi air sungai mengalir,” katanya.

PHOTO-2019-05-27-14-03-46
Jibek pernah mengikut Azhan mendaki selama empat hari tiga malam.

Menurut Azhan, Jibek juga melalui pengalaman yang lazim dialami pendaki lain apabila digigit pacat dan ia hanya disedari apabila beliau yang memeriksa keadaan kucingnya menemui seekor pacat yang sudah kenyang melekat pada bahagian perut.

Paling lama Azhan bawa Jibek mendaki adalah empat hari tiga malam, dan dia bercita-cita membawa Jibek menghabiskan pendakian ke tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang merentasi Banjaran Titiwangsa.

Tujuh gunung berkenaan yang juga dikenali sebagai G7 ialah Gunung Tahan dengan ketinggian 2,190m, Gunung Chamah (2,171m), Gunung Ulu Sepat (2,158m), Gunung Yong Yap (2,168m), Gunung Korbu (2,183m), Gunung Gayong (2,173m) dan Gunung Yong Belar (2,181m).

“Tinggal dua gunung saja lagi yang belum didaki Jibek iaitu Gunung Tahan dan Gunung Chamah. Saya rancang bawa Jibek mendaki Gunung Chamah Julai ini, manakala Gunung Tahan terpaksa dilupakan kerana saya difahamkan bahawa haiwan peliharaan tidak dibenarkan dibawa ke Gunung Tahan kerana khuatir menarik kehadiran binatang buas.

“Saya juga bersyukur kerana rakan pendaki lain memahami situasi kami dan sama-sama membantu menjaga Jibek. Walaupun masih ada segelintir yang mengeji, saya anggap ia cabaran sama seperti mendaki.

“Umpama artis, Jibek lebih popular daripada saya dalam kalangan pendaki apabila ramai pendaki lain mahu berswafoto dengan kucing ini. Pernah berlaku, perjalanan kami terhenti banyak kali dan tiba lewat ke puncak akibat ramai orang mahu merakam gambar bersama Jibek.

PHOTO-2019-05-27-14-03-33 (1)
Jibek pernah digigit pacat ketika mendaki.

“Jibek sendiri tidak banyak kerenah dan mudah dijaga, apa yang penting saya sediakan semua keperluannya seperti air mineral, makanan dalam tin, biskut dan ubat. Jibek juga saya tidak lepas bebas dan dibawa tidur dalam khemah, malah saya juga akan gali lubang untuk Jibek membuang najis,” katanya.

Azhan yang juga perunding imigresen, memulakan hobi mendaki sejak 1998 untuk memenuhi cuti hujung minggu. Pada peringkat awal, beliau menyertai banyak program anjuran persatuan belia dan sukan sebelum merangka sendiri kegiatan itu dan kini menjadi ahli kumpulan penggiat sukan lasak dikenali sebagai Outdoor Team Malaysia.

“Sejak jatuh cinta dengan hobi ini, saya tidak berhenti mencari bukit atau gunung yang menarik untuk diteroka setiap minggu. Malah, saya pernah ke Indonesia untuk cuba mendaki laluan di sana dan antara yang pernah ditawan adalah Gunung Kerinci, Gunung Raung dan Gunung Rinjani.

“Selain mengumpul pengalaman, saya juga puas apabila berada di puncak sambil melihat panorama indah dari ketinggian dan menikmati alam semula jadi. Tambah lagi, sukan mendaki sudah menjadi trend dan saya juga mendapat ramai kawan baharu menerusi aktiviti ini.

“Cuma kali ini, aktiviti mendaki saya banyak menuntut kesabaran kerana membawa kucing peliharaan. Kita yang terpaksa mengikut rutinnya dan saya yang perlu kental melayan,” katanya yang sudah menghabiskan senarai G7 dan mengulanginya kerana membawa Jibek.

PHOTO-2019-02-23-13-52-38 (4)
Jibek telah menawan lebih 30 gunung di negara ini.

Mengimbas semula bagaimana Azhan memperoleh Jibek, dia berkata kucing itu dibuang orang di depan rumahnya ketika berumur tiga bulan sebelum dijadikan haiwan peliharaan.

“Saya masih ingat kejadian pada hari minggu, saya mahu keluar rumah apabila ternampak satu kotak berisi dua anak kucing di depan pintu. Bagaimanapun, seekor daripadanya sudah mati dan saya terus membawa anak kucing yang masih hidup ke klinik veterinar untuk rawatan.

“Doktor veterinar memaklumkan kucing itu mempunyai baka Maine Coon tetapi sudah kacuk dengan kucing kampung. Kebetulan saya memang mencari kucing untuk dipelihara dan dijadikan teman di rumah berikutan menetap sendirian.

“Saya pernah melayari laman jual beli dalam talian semata-mata mahu cari kucing yang diminati tetapi rata-ratanya, harga agak mahal. Kehadiran Jibek umpama rezeki, alang-alang kucing ini sudah ada di depan mata saya terus mengambilnya,” katanya.

Azhan yang berasal dari Jitra, Kedah dan kini menetap di ibu negara juga membuka akaun media sosial untuk Jibek yang dinamakan Jibek Hikers dalam medium Facebook, manakala Jibek Hikers Cat dalam Instagram yang menunjukkan aktiviti mendaki yang sering kedua-duanya lakukan. – MalaysiaGazette

PHOTO-2019-05-27-14-03-59
Jibek seolah memahami kepuasan berada di puncak gunung.