KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta supaya dilakukan reformasi terhadap hak pekerja di Malaysia antaranya dengan pemberian elaun sara hidup sebanyak RM300, elaun perumahan serta cuti bergaji selama 30 hari kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan haji.
Antara yang turut dicadangkan adalah cuti bersalin 98 hari dan cuti tujuh hari kepada bapa (paternity leave).
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, undang-undang buruh di negara ini tidak pernah berubah sejak mula diperkenalkan pada era 50 an dan 60 an.
“Keadaan sentiasa berubah dan pengiktirafan kepada maruah, nilai kemanusiaan dan hak pekerja juga semakin baik.
“Jadi, sudah tiba masanya reformasi menyeluruh dilakukan terhadap undang-undang buruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Solomon, antara cadangan yang telah dikemukakan kepada kerajaan adalah rehat selama 15 minit bagi setiap dua jam bekerja bagi membolehkan pekerja melakukan regangan atau senaman ringkas supaya dapat meningkatkan tahap kesihatan masing-masing di samping mengurangkan kos perubatan.
Selain itu, MTUC katanya turut mencadangkan majikan supaya menyediakan bilik penyusuan yang selamat dan bersih kepada para ibu.
Cuti sakit ditambah kepada 30 hari berbanding 15 hari ketika ini dan 60 hari cuti sakit apabila dimasukkan ke dalam wad tanpa mengira tempoh perkhidmatan.
“Kos sara hidup sebanyak RM300 sebulan dan manfaat pemberhentian kerja patut ditetapkan sekurang-kurangnya dua bulan bagi setiap tahun perkhidmatan tanpa mengira tahun berkhidmat.
“Semua pekerja beragama Islam perlu diberikan 30 hari cuti bergaji untuk menunaikan haji, pemberian elaun perumahan sebanyak RM300 kepada pekerja yang tinggal di bandar.
Sebagai alternatif, bagi pekerja yang mendapat gaji kurang RM10,000 sebulan, mereka boleh diberikan subsidi dalam kadar faedah pinjaman perumahan.
Tambah Solomon, Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 perlu disemak semula.
Dengan keahlian kesatuan hanya kira-kira enam peratus daripada jumlah pekerja pada ketika ini, MTUC mencadangkan supaya semua pekerja di Malaysia diwajibkan untuk menyertai kesatuan kerana mereka berhak untuk diwakili kesatuan dalam setiap isu membabitkan pekerjaan.
“Malaysia bercita-cita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi ia bukan sahaja perlu melihat kepada kuantiti pekerja tetapi juga kualiti kesejahteraan dan nilai pekerja dalam memastikan produktiviti yang dihasilkan meningkat,” katanya lagi.
MTUC katanya percaya kerajaan dan para majikan akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.- MalaysiaGazette