PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan penyerang Neymar terpaksa berehat selama empat minggu selepas mengalami kecederaan bersama skuad Brazil baru-baru ini.
Bintang sensasi berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan pada minit ke-20 perlawanan dalam satu perlawanan persahabatan menentang Qatar sebagai persiapan akhir menjelang kejohanan Copa America 2019.
Kecederaan tersebut memaksa jurulatih Brazil, Tite mengugurkan Neymar dan tempatnya digantikan oleh penyerang Chelsea, Willian.
Selepas melakukan pemeriksaan susulan terhadap Neymar, PSG mengeluarkan satu kenyataan mengenai tahap kecederaan pemain tersebut.
“Dua doktor telah melakukan pemeriksaan pada bahagian ligamen buku lali Neymar yang cedera, namun dia tidak memerlukan sebarang pembedahan,” ujar kenyataan kelab itu di laman Twitter.
PSG turut mengesahkan rawatan ke atas Neymar bergantung kepada proses pemulihan yang dilalui dan pemain itu dijangka akan kembali selepas empat minggu.
Brazil adalah tuan rumah kejohanan Copa America yang akan memulakan aksi perlawanan pertama menentang Bolivia pada 14 Jun ini.
Kali terakhir Brazil bergelar juara kejohanan ini adalah pada 2007.
Perlawanan akhir edisi kali ini akan berlangsung pada 7 Julai di Stadium Maracana, Rio de Janerio. – MalaysiaGazette