KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menentang keputusan Putrajaya melantik Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Meskipun telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bahawa keputusan mengenai perkara itu adalah muktamad namun, tentangan terhadapnya masih berlaku.
Perkara itu dibuktikan apabila satu petisyen sebagai bantahan diwujudkan menggesa orang ramai menandatanginya dengan disertakan tiga sebab mengapa bantahan terhadap pelantikan itu perlu dilakukan.
Petisyen tersebut dimuat naik oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad di Twitter dengan ciapan bahawa pelantikan Latheefa bukanlah satu isu besar sebaliknya, tekad reformasi perlu dipatuhi dalam Pakatan Harapan (PH).
“Pakatan Harapan telah beri komitmen untuk perlantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh JK Parlimen.
“Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi.
“Isu ini lebih besar dari @LatheefaKoya tetapi tekad reformasi yang kita janjikan,” ciap beliau di laman sosial berkenaan.
Nik Nazmi turut memuat naik petisyen berkenaan di laman blog milik beliau https://niknazmi.com/.
Berdasarkan maklumat di blog itu, pelantikan Latheefah adalah bertentangan dengan prinsip PH yang mahukan tiada sebarang lantikan politik bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Prinsip Pakatan Harapan untuk memastikan SPRM sebagai sebuah badan bebas dari lantikan politik telah dicemari.
Tiga perkara yang turut dinyatakan oleh Nik Nazmi di blog milik beliau ialah tiga perkara mengapa pelantikan Latheefa perlu dibantah.
Perkara pertama ialah proses pemilihan, yang sepatutnya ditentukan oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Khas dan bukan lagi lantikan oleh PMO (Pejabat Perdana Menter).
Perkara kedua ialah personal (keperibadian) yang dipilih, harus dalam kalangan penjawat awam, selari dengan apa yang telah termaktub dalam akta SPRM itu sendiri.
Perkara ketiga ialah Janji pilihanraya (jika berjaya membentuk kerajaan) untuk memastikan lantikan jawatan agensi integriti seperti SPRM wajib bebas dari dalam kalangan ahli politik.
Di atas nama Malaysia baru, tiada satu pun perkara di atas yang mengizinkan perlantikan Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM, katanya.
“Justeru, saya membantah keras perlantikan yang bersifat autokratik ini, yang menjadikan kita selangkah ke belakang.
“Ini sangat tidak progresif dan harus dilawan atas prinsip,” tegasnya. – MalaysiaGazette