LONDON – Seorang pemuda lelaki dipercayai suspek kelima yang menyerang pramugari dan kekasih wanitanya pada 30 Mei lalu dicekup polis semalam.
Suspek berusia 16 tahun ditahan polis pagi semalam selepas disyaki terlibat dalam beberapa siri samun dan kes menyerang pasangan wanita gay.
Pemuda itu kini direman polis untuk disiasat lanjut selepas kedua dua mangsa membuat laporan polis minggu lalu.
Empat lagi remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun itu direman polis Jumaat lalu dan masih disoal siasat serta diambil keterangan dalam kes tersebut.
Tangkapan lima suspek itu menyusul selepas Melania Geymonat, 28, yang merupakan pramugari Ryanair dan kekasih wanitanya Chris memuat naik foto mereka berlumuran darah setelah diserang sekumpulan pemuda di dalam sebuah bas dua tingkat di tengah kota London.
Kejadian berlaku semasa pasangan itu dalam perjalanan pulang menaiki bas nombor N31 dari London menuju ke Bandar Camden.
Polis kini sedang mengumpul sebanyak mungkin saksi dan maklumat untuk melengkapkan siasatan bagi meneruskan pendakwaan ke atas kelima-lima suspek tersebut.
Kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang sebagai pesakit luar.
Detektif Superintendan Andy Cox dari Jabatan Pengangkutan Jalan berkata, serangan ke atas dua mangsa wanita itu sangat mengecewakan.
“Suspek membaling duit syiling ke arah mereka sebelum memukul sehingga cedera.
“Rakaman CCTV juga berjaya diperoleh dan disiasat polis tetapi kami akan terus mendapatkan saksi kejadian khususnya mereka yang berada di dalam bas sebelum atau selepas kejadian untuk tampil memberikan maklumat apa yang mereka lihat pada tengah malam itu.
“Kes seperti ini jarang berlaku dan saya terkejut dengan insiden tersebut. Bagaimanapun anggota keselamatan akan ditugaskan untuk rondaan untuk mengelak insiden sedemikian daripada berulang di tempat awam,” katanya. – MalaysiaGazette