KUALA LUMPUR – Kartunis terkenal khasnya dalam kalangan ahli politik, Zunar hari ini memuat naik kartun yang seolah-olah mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pelbagai reaksi dari umum.
Zunar atau nama sebenarnya Zukiflee Anwar Haque sememangnya popular kerana menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap pelbagai pihak terutamanya pemimpin kerajaan terdahulu menerusi kartun.
Lukisan-lukisan Zunar yang begitu bersahaja ini selalunya menambat hati pelbagai pihak termasuk di luar negara khasnya yang peka dengan isu-isu semasa serta politik tanah air.
Mengejutkan apabila Zunar yang juga pro-kerajaan hari ini melakarkan satu lukisan mengkritik mengkritik kepimpinan Tun Mahathir dalam melantik bekas Presiden Lawyers of Liberty juga bekas pimpinan PKR sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lukisan itu yang dimuat naik dalam laman sosial menunjukkan Tun Mahathir duduk di atas sebuah jentolak dengan perkataan-perkataan seperti ‘Kabinet’, ‘Jawatankuasa Khas Parlimen’ dan ‘Reformasi’ seolah-olah sedang dilenyek oleh jentolak tersebut.
Lukisan tersebut juga mendapat reaksi negatif dan positif netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan Zunar.
Tidak kurang juga ada juga mengkritik Zunar kerana sebelum ini begitu lantang menyokong kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
Ada juga yang melahirkan rasa tidak senang dengan pelantikan tersebut yang sememangnya telah memberikan impak tidak baik lagi-lagi selepas kerajaan PH berjanji dalam manifesto tentang pelantikan politik dalam kerajaan.
Awal bulan ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup tersentuh dengan lukisan-lukisan Zunar melahirkan rasa sebak ketika melayari kartun-kartun beliau pada Pameran ‘Art of Freedom’ di Pulau Pinang.
Pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana Rabu lepas, Tun Mahathir mengakui dirinya telah membuat keputusan muktamad perhubung pelantikan Latheefa tanpa melakukan sebarang rundingan dengan barisan Kabinet kerana enggan terikat dengan mana-mana pihak.
Kata Tun Mahathir, beliau memilih Latheefa yang dirasakan sangat lurus dan tegas dalam memerangi rasuah di negara ini dan tidak akan berganjak daripada keputusan pelantikan tersebut.
Bagaimanapun lantikan ini juga dikatakan telah menyebabkan barisan kepimpinan PKR ‘berpecah dua’ kerana ada yang menyokong ada yang menyoal bagaimana janji manifesto itu dipandang sepi begitu sahaja.
Malah sudah ada dua kem dengan dua petisyen berbeza dari PKR, yang satunya mahu Latheefa meletak jawatan manakala satu lagi menyokong tidak berbelah bahagi tentang pelantikan ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula secara terbuka mendakwa lantikan Latheefa ini berkemungkinan satu konspirasi membantutkan impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri ke-8. –MalaysiaGazette