Home Utama PKR percaya ada ruang pusing dalam pelantikan Latheefa

PKR percaya ada ruang pusing dalam pelantikan Latheefa

PKR akan memberi fokus kepada kawasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai selain menumpukan kempen mereka kepada pengundi wanita dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Pelantikan Latheefa Koya menimbulkan polemik dan paling banyak diperkatakan oleh beberapa pemimpin PKR sehingga mewujudkan satu petisyen mendesak Latheefa meletakkan jawatan.

KUALA LUMPUR – Walaupun pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditegaskan sebagai muktamad oleh Perdana Menteri, tetapi PKR percaya masih ada ruang untuk pusingan-U dalam isu itu.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, andaian itu dibuat berdasarkan beberapa kes seumpama membabitkan pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pendidikan serta kedudukan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Kedua-dua kes itu, kata Lih Kang, mendorongnya percaya masih terbuka ruang untuk Perdana Menteri melakukan “pusing balik” .

Beliau berkata, PKR belum membincangkan isu itu secara rasmi dan ia dijangka dibangkitkan dalam mesyuarat biro politik parti yang akan datang.

Lih Kang juga berharap pemimpin tertinggi Pakatan Harapan akan bermesyuarat secepat mungkin untuk menyelesaikan perkara itu.

“Ini bukan masalah PKR semata-mata, cuma kebetulan Latheefa merupakan bekas ahli parti.

“Isu ini membabitkan keazaman reformasi politik Pakatan Harapan serta ‘deria’  rakyat mengenai keazaman itu,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, walaupun sesetengah janji Pakatan Harapan tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan, tetapi soal pelantikan Latheefa yang bertentangan dengan manifesto parti adalah lebih kepada keazaman politik parti.

“Walaupun undang-undang belum dipinda, kami telah berjanji supaya anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan SPRM diselia secara terus oleh Parlimen.

“Jawatan tinggi suruhanjaya berkenaan pula dicalonkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen supaya namanya dikemukakan  Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen telah ditubuhkan pada Disember tahun lalu.

“Pakatan Harapan harus menunjukkan keazaman politik dengan membenarkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen menjalankan tugasnya,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau tidak mempertikaikan kemampuan dan sikap profesional Latheefa. – MalaysiaGazette