PORTO – Portugal mengambil kelebihan sebagai tuan tuan rumah untuk menjulang Liga Negara-Negara Eropah (UNL) edisi pertama apabila menewaskan Belanda pada perlawanan akhir awal pagi tadi.
Kejayaan itu merupakan kejuaraan kedua mereka dalam tempoh tiga tahun selepas skuad kendalian Fernando Santos merangkul Euro 2016.
Pemain sayap, Goncalo Guedes menjadi wira Portugal melalui jaringan tunggal untuk memberikan kemenangan tipis ke atas anak buah Ronald Koeman.
Gol itu terhasil pada minit ke-60 selepas dia menerima hantaran daripada Bernardo Silva menewaskan penjaga gol, Jasper Cillessen.
Pelawat hampir mendapat gol penyamaan melalui tandukan kencang Memphis Depay namun diselamatkan penjaga gol, Rui Patricio.
Perlawanan akhir itu turut mencuri tumpuan kerana melibatkan pertembungan dua kapten iaitu penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo dan pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.
Sementara itu, England menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Switzerland selepas skuad Three Lions memenanginya menerusi penentuan sepakan penalti 6-5.
Kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat 120 minit permainan. – MalaysiaGazette